HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 September 2015

Ramai muntah dan pening kena gelombang



Oleh USTAZ ROSLI ABDUL JABBAR


APABILA kuat gelombang, maka ramailah yang muntah-muntah, pening-pening dan sebagainya, maklum mereka belum pernah mengalami gelombang sebegini. Ramai sangat yang datang berjumpa dan bertanya tentang perkara sebenar.

'Kenapa PAS dok bergaduh ni Ustaz', sampai saya pun naik pening juga, bukan fasal berbalah, tapi pening sebab ramai sangat sibuk bertanya. Kawasan dan cawangan pun sibuk menganjurkan program dialog untuk mendapatkan penjelasan daripada pimpinan, hinggakan dalam tempoh tiga bulan ni, sentiasa sibuk dengan program dalaman untuk memberikan penjelasan.

Ada juga yang pening, hingga terpaksa tarik brek tangan, letak jawatan dan berehat seketika, namun masa terakhir ini, kelihatan sudah hampir tiada yang pening. Sebenarnya ahli PAS tidak suka dengan perbalahan, selama ini masing-masing sibuk buat kerja parti, tidak pernah fikir bahawa situasi sebegini akan berlaku.

Mahunya semua baik-baik dari awal hingga akhirnya. Saya katakan bahawa ini adalah proses kematangan dalam berjuang, mungkin pada masa mendatang gelombangnya lebih hebat. Ia juga proses untuk kita belajar mengimbangi kedudukan kita supaya tidak tergelincir daripada dasar perjuangan.

Islam itu sangat cantik, pasti ramai yang cemburu padanya, apabila bangun seorang hamba kepada Tuhannya, maka akan bangun pula sekelian musuhnya dari segenap penjuru. Rasulullah SAW juga terpaksa berhadapan dengan musuh sama ada dari luar dan dalam, pertembungan pasti berlaku apabila dua kumpulan manusia datang dari satu lorong tetapi dari dua arah yang bertentangan.

Wadah yang sama tetapi citanya tidak sejalan, parti yang sama tetapi mauduknya bercabangan, pemimpin yang sama tetapi tsiqahnya berlainan. Apabila dah berlaku begini, tidak dapat tidak pasti bertembung dan terluka.

Akhir zaman ini siapa yang berpegang teguh dengan Islam, seumpama mengenggam bara api, sangat panas dan menyakitkan, itu pesan Nabi SAW, hanya mereka yang memahami maksud perjuangan dan sabar akan dapat bertahan dan Istiqamah dijalan-Nya.

Apabila gelombang terlalu kuat, maka kita mesti berpaut supaya tidak terjatuh, maka tempat berpaut yang paling kukuh ialah Islam. Pengikatnya adalah al-Qur'an dan as-Sunnah dan itulah dasar kepada perjuangan PAS. Kerana itu genggamlah Islam itu dengan kuat, biarpun panasnya membakar tangan, kerana ia adalah ujian yang membawa rahmat.

Panduan kita adalah al-Qur'an dan as-Sunnah, di situ tempat kita ambil pertimbangan, semua orang boleh berhujah, tapi tiada siapa boleh menipu Allah SWT dan tiada siapa pula boleh menipu hati sendiri, sendiri yang merasainya, sendiri yang mengetahui betapa meracaunya hati, kerana itu tiada wadah yang menenangkan apabila kita berada di dalamnya, kecuali apabila kita apabila kita berada di sebuah wadah yang yakin dengan Allah SWT.

Manusia akan tenang daripada rasa tertipu apabila yakin bahawa Allah pasti menunaikan janji-Nya, meskipun lambat, ia tetap sabar dan tenang kerana semuanya terletak kepada kebijaksanaan-Nya.

Orang yang lemah pasti tenang apabila ia bergantung kepada Allah yang Maha Kuat, orang yang miskin pasti tenang apabila ia bergantung kepada Allah Yang Maha Kaya, orang yang ditindas pasti tenang apabila ia bergantung kepada Allah Yang Maha Kuasa, orang yang teraniaya pasti tenang apabila ia bergantung kepada Allah Yang Maha Pembalas, orang yang difitnah pasti tenang apabila bergantung kepada Allah Yang Maha Mengetahui, orang yang dihina pasti tenang apabila bergantung kepada Allah Yang hanya disisi-Nya terletak kemuliaan.

"Tiada sebuah kemuliaan dan kekuatan kepada hamba yang berjuang, melainkan ia anugerah dari Rabb-Nya yang setiap saat dia bersamanya, pada saat senang dan susah dan menyebut serta menyeru nama-Nya." (As-Syahid Dr Abdullah Azam).

PAS telah melalui liku-liku dalam perjalanannya yang membawa hasrat untuk menegakkan Islam, memang sukar dan memenatkan, melawan kebejatan Umno dan sekutunya sehingga kini, tetap istiqamah membawa hasrat Islam, meskipun terpaksa berhadapan dengan sesiapa sahaja, memburu kemenangan bersama keredhaan-Nya.

Oleh itu apa jua yang berlaku kini, anggap sahaja ia adalah sebahagian daripada ujian perjuangan, ia adalah ujian untuk menguji keperkasaan jiwa sejauh mana kita Istiqamah di atas jalan Islam, Istiqamah untuk membawa hasrat Islam, Istiqamah berjuang sehingga tertegaknya hukum Allah SWT, maka... "Infiru".

Tiada ulasan: