KUALA LUMPUR,  Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos berkemungkinan besar dibebaskan petang ini.


Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon berkata, pembebasan itu disebabkan Jamal tidak ditahan reman.

Semalam, Jamal ditahan pada jam 8.50 malam, ketika beliau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, untuk memberi keterangan berhubung perhimpunan yang dikatakan akan diadakan di Petaling Street, hari ini.

Jamal ditahan di bawah Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah, yang memberi kuasa kepada polis untuk menahan seseorang individu itu, supaya tidak menjejaskan ketenteraman awam.

Dalam pada itu, Law meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Jelasnya, orang ramai diingatkan membuat pengesahan terlebih dahulu berhubung sebarang maklumat yang diterima mereka, sebelum menyebarkannya di media sosial.

“Saya mengingatkan kepada mereka jangan sesuka hati sebar spekulasi palsu, sahkan dengan polis dahulu kesahihan sebarang maklumat.

“Dalam hal ini, polis tidak akan bertolak ansur dan akan mengambil tindakan undang-undang, kerana ia merupakan kesalahan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” katanya ketika melawat Petaling Street, sebentar tadi.