HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 September 2015

Elok Pakatan Harapan henti bercakaran



Oleh Muhammad Wafiuddin Rosli


Gesaan Datuk Zaid Ibrahim untuk Pakatan Harapan, khususnya DAP menunjukkan cara untuk membantu orang-orang Melayu di negara ini sangat menarik untuk diwacanakan.Umno membuktikan, Mara dan UiTM umpamanya adalah simbol komitmen mereka pada kepentingan Melayu.

Isu RM2.6 bilion ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak bukan isu Melayu, itu isu keluarga perdana menteri.

PH perlu membuktikan mereka lebih menjaga kepentingan Melayu. Jika tidak, melayu akan dikelirukan para pemimpin Umno/Barisan Nasional lagi pada pilihan raya umum nanti.

Umno sejak lima dekad lalu pun menjadikan bangsa, Islam dan raja (3R) sebagai teras perjuangan mereka.
Kalau PH pun mahu bergerak dalam kerangka yang sama, natijahnya akan sama, iaitu rakyat akan terus diperbodohkan orang-orang politik.

Corak politik sama, natijahnya akan sama juga!

Kerana itu, elok PH melorongkan politik bijak dalam kerangka 'politik ekonomi'.

Rekod kebajikan yang dilakukan kerajaan Selangor dan Pulau Pinang yang menyentuh kepentingan Melayu dan Islam harus dirai di peringkat nasional supaya orang-orang Melayu tidak bertanya 'soalan kosong' seperti Zaid.

Seperti di Pulau Pinang, ketegasan ketua menteri Lim Guan Eng untuk menolak sebarang pelan kebenaran merancang yang dimohon tuan tanah Kampung Mutiara selagi tuntutan penduduk asal tidak diambil kira akhirnya membatalkan langkah pengusiran di kampung Melayu berkenaan.

Di Kuala Lumpur, ada kampung Melayu akan lenyap tidak lama lagi di sebalik penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) di bawah kerajaan pusat tidak lama lagi, walaupun Umno/BN yang menguasai Putrajaya.

Apa yang saya nak sebut di sini, kalau politik tanah air masih dalam kerangka 3R (Religion, Raca & Royal), selagi itu keyakinan rakyat khususnya orang-orang Melayu terhadap PH tidak boleh dipupuk.

Tetapi, jika Pakatan Rakyat berjaya membawa pemikiran majoriti rakyat ke medan 'politik ekonomi', orang Melayu pun akan percaya Putrajaya akan lebih baik jika tidak lagi berada di bawah Umno/BN.

Macam orang-orang Melayu di Kampung Mutiara berasa untung di bawah kerajaan PH Negeri Pulau Pinang, berbanding orang-orang Melayu di Kampung Baru yang menunggu rumah mereka dirobohkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak lama lagi.

Bagi Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), PH harus menghentikan budaya saling bercakaran secara dalaman, sama ada di Selangor mahu pun Kelantan.

PH mesti kembali fokus pada 'politik ekonomi', kerana rakyat mahu tahu – apakah wawasan anda dalam memulihkan semula ekonomi negara dan mata wang Ringgit Malaysia.

Usaha menyingkirkan Najib melalui undi tidak percaya di Dewan Rakyat adalah tidak memadai.

Tekanan dalam isu RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib Razak di dalam negara adalah tidak memadai, lebih baik mempengaruhi PBB untuk melakukan 'sesuatu' jika ia menguntungkan negara dan rakyat.

Sesungguhnya rakyat paling bosan apabila PH pun 2 X 5 macam Umno/BN, dengan berpolitik dan saling bercakaran yang terang-terang tidak menguntungkan rakyat.

Mahasiswa dan rakyat senantiasa menilai PH di PRU14.

* Penulis merupakan presiden, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

Tiada ulasan: