HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 September 2015

Sejauh mana benar sejarah perlu ditulis semula?

Pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam
Ramlah


SHAH ALAM - Sejarah berperanan untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia dan ia tidak pernah disalahgunakan sebagai alat politik oleh parti pemerintah.

Pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam menegaskan dakwaan mengatakan sejarah dijadikan sebagai alat politik itu tidak berasas kerana fakta sejarah tidak boleh diubah dan dinafikan.

"Kita juga guna sejarah untuk menyatukan orang ramai dan mengingatkan kejayaan-kejayaan negara kita yang dulu.

"Kalau kita memperkatakan perjuangan kemerdekaan negara, apabila disebut Umno yang bertanggungjawab, itu bukan alat politik, itu memang fakta sejarah," katanya kepada Sinar Online, baru-baru ini.

Ramlah juga berkata, kepentingan untuk menyambut hari kebangsaan adalah semata-mata untuk menanam semangat bersatu padu dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

"Bila kita bercakap soal negara, sumbangan Umno dalam negara memang ada, tidak boleh dinafikan, itu fakta sejarah, itu tak boleh diketepikan.

"Orang Melayu di bawah Umno, ia juga mengasaskan perikatan, Umno juga yang jadi tunggak BN, itu fakta. Sejarah untuk mengingatkan peranan pemimpin terdahulu dan kita gunakan untuk menyatukan dan beri kesedaran," jelasnya.

Sementara itu, pakar Perlembagaan, Dr Aziz Bari pula berkata sejarah tidak sepatutnya dijadikan sebagai "alat politik" demi kepentingan pihak tertentu apabila fakta penting dalam pembentukan negara didakwa disembunyikan oleh mereka yang berkuasa.

Beliau berkata penulisan semula sejarah negara tidak berkesudahan jika fakta itu terus dimanipulasi dan diseleweng mengikut acuan pemerintah sama ada BN mahupun pembangkang.

"Esok kita tulis balik dengan kaca mata (pihak) tertentu, orang lain akan tulis semula, jadi tak habis-habis tulis semula sejarah.

"Kalau kita nak hentikan masalah ini, kena lebih objektif, sejarah perlu ditulis sebagai sejarah, dan bukan untuk tujuan politik," katanya.

Mengulas lanjut, Aziz juga berkata, penulisan sejarah perlu dikendalikan oleh mereka yang pakar dalam bidang tersebut dan bukan ahli politik.

"Biarlah sejarah itu ditangani oleh pakar-pakarnya, penyelidikan dan mereka yang ada kepakaran, bukan oleh orang politik, itu yang kita tak mahu.

"Saya fikir pakar-pakar itu ada di universiti dan ada dalam kalangan kita, orang ini yang patut kita runding dan pakai, bukannya orang kementerian yang mahu atau tidak terikat dengan dasar dan kepentingan Umno," ujarnya.

Dalam pada itu, Aziz mendakwa lagi, sejarah pada masa ini ditulis berdasarkan keahlian manakala peranan pembangkang dilenyapkan.

"Tidak dinafikan kira harus mengambil kira pandangan ahli politik dari pembangkang yang lebih betul dan tepat dari segi maklumat dan tafsirannya.

"Dalam soal pemerintahan, banyak peranan dan inisiatif dibuat BN kerana dia pemerintah, tetapi pembangkang ada juga benda yang dia buat," tegasnya.

Ditanya tentang saranan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya sejarah perlu ditulis semula, Aziz bagaimanapun menyifatkan negarawan itu bagaikan sudah "sedar dan bersalah akan dosa-dosanya" kerana didakwa telah memalsukan sejarah.

"Apa dia buat apa masa jadi Menteri Pelajaran dan Perdana Menteri, saya rasa Dr Mahathir bersalah kerana memalsukan sejarah atau tidak menyatakan sejarah sebagaimana yang sepatutnya.

"Kita tak boleh terima pandangannya bulat-bulat, jadi pada saya lebih penting sejarah itu diceritakan sebagaimana seadanya dan itu akan menyelesaikan masalah," katanya lagi.

Tiada ulasan: