shahbudindotcom
Tidak
dapat dipastikan bilakah Najib Razak mahu berundur daripada jawatannya
atau apakah beliau benar-benar sedia berundur, tetapi di mana-mana
pertanyaan yang tidak henti-henti didengar ialah siapakah bakal
penggantinya yang paling layak?
Pertanyaan
itu tidak saja ditanyakan oleh ahli dan penyokong parti politik atau
mereka yang berminat dengan politik, tetapi juga oleh ahli perniagaan,
kakitangan kerajaan dan swasta, golongan profesional, suri rumah, malah
murid sekolah turut inginkan jawapan kepada persoalan yang sama.
Seorang
murid sekolah berusia 16 tahun pernah bertanya kepada saya, antara
Muhyiddin dan Zahid, siapa lebih bagus untuk menggantikan Najib?
Pertanyaan
yang semakin meningkat dan dari pelbagai peringkat tentang pengganti
itu membuktikan Najib pada hakikatnya semakin tidak dikehendaki dan
kedudukannya kian menjauh daripada hati nurani rakyat.
Apatah
lagi, walaupun berjaya mengelakkan dirinya daripada disiasat dengan
menyingkirkan Gani Patail sebagai Peguam Negara, membubarkan pasukan
petugas khas dan melengah-lengahkan pendengaran Jawatankuasa Kira-Kira
Wang Negara atau PAC, Najib kini bakal berdepan siasatan di peringkat
antarabangsa pula.
Daripada
sekian banyak negara yang diberikan laporan mengenainya berkaitan 1MDB
dan wang RM2,600 juta, sekurang-kurangnya Jabatan Peguam Negara
Switzerland, Biro Penyiasatan Persekutuan atau FBI dan Jabatan Kehakiman
Amerika Syarikat, dilaporkan bakal melakukan siasatan terhadap Najib.
Bersama
asakan dalam negara yang mahukannya berundur, khususnya yang ditunjangi
dan dilakukan tanpa henti oleh Tun Mahathir, hakikatnya sukar dijangka
sama ada Najib mampu terus mempertahankan jawatannya atau terpaksa
mengalah akhirnya.
Pelbagai
perkara tidak dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa saja. Dalam
masa yang sama, kita juga tidak tahu apa dan berapa banyak lagi "peluru"
yang dimiliki oleh Tun Mahathir untuk memaksa pemberhentian Najib.
Begitu
juga, kita turut tidak tahu apa lagi pendedahan daripada media
antarabangsa bakal menimpa Najib seterusnya yang tentu saja akan
membuatkannya semakin dipandang serong oleh dunia.
Oleh
itu, walaupun Najib mungkin cuba bertahan selagi mampu, kemungkinan
beliau terpaksa berundur akhirnya kerana tekanan yang makin menghimpit
dari pelbagai sudut, tidaklah mustahil sebenarnya.
Rata-rata
orangramai menyebut dua dua nama sebagai pengganti jika Najib
disingkirkan iaitu Zahid Hamidi yang kini menjadi Timbalan Perdana
Menteri dan Muhyiddin Yassin yang merupakan Timbalan Presiden UMNO.
Ada
yang mengatakan Zahid yang sepatutnya mengambil alih jawatan itu kerana
kedudukannya sebagai orang nombor dua dalam kerajaan. Zahid juga
dipercayai akan mendapat lebih sokongan daripada kalangan Ahli-Ahli
Parlimen UMNO berbanding Muhyiddin untuk lebih dulu mengadap Yang
Dipertuan Agong bagi mengangkat sumpah dan menerima watikah jawatan.
Walaupun
agak kurang berpengalaman dan baru berada dalam kabinet sejak era
kepimpinan Tun Abdullah Badawi berbanding Muhyiddin yang telah
menganggotai kerajaan sejak 37 tahun lalu, kelebihan Zahid ialah
kemesraan dan kepungannya yang kukuh di kalangan pemimpin pelbagai
peringkat dalam UMNO.
Tambahan
lagi, dengan kuasa kian bertambah sejak menjadi Timbalan Perdana
Menteri di samping Menteri Dalam Negeri sejak beberapa tahun lalu, Zahid
memang tiada masalah untuk mendapatkan sokongan lebih baik daripada
UMNO jika keadaan memerlukannya bersaing dengan Muhyiddin bagi jawatan
Perdana Menteri itu.
Tetapi
jika mengambil kira konsep parti menguasai kerajaan, ketiadaan Najib
seharusnya membolehkan Muhyiddin sebagai pemimpin nombor dua dalam UMNO
untuk mengambil alihnya. Ia akan membolehkan UMNO terus dihormati
sebagai teras dalam BN.
Kecelaruan
dan kejanggalan juga akan berlaku jika Zahid yang menjadi Perdana
Menteri, tetapi Muhyiddin pula sekadar menjadi pemangku Presiden UMNO
saja.
Bayangkan
saja suasana ketika mesyuarat MT, Perhimpunan Agung UMNO dan mesyuarat
BN yang terpaksa dipimpin oleh seseorang yang bukan menjadi ketua
kerajaan.
Bayangkan pula Zahid yang menjadi Perdana Menteri tetapi tidak mengetuai UMNO dan tidak juga menjadi "kepala" dalam BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan