HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 September 2015

PAS lawan Amanah: Menang jadi abu, kalah jadi arang

 Oleh Abdul Rahman Malik

 
Post Pic

 
[ULASAN] Tinggal kira-kira 100 hari sahaja lagi bagi Parti Amanah Negara (Amanah) membuktikan kemampuannya  mendaftarkan 69,982 ahli baru dan justeru menjadi pesaing politik yang patut disegani kawan dan lawan. 
 
Pada hari pelancaran Amanah 16 September lalu, Setiausaha Agungnya, Anuar Tahir  mengumumkan ahli berdaftarnya ialah 30,018 orang. Dan, sebagai parti alternatif Islam, Amanah yakin mencecah pendaftaran 100,000 hujung tahun ini.  
 
Sasaran utama Amanah adalah pengundi muslim. Profil mereka tentu tidak jauh berbeza dengan yang disasarkan oleh PAS. Malah tanpa silu golongan yang cuba dipujuk oleh Amanah ialah ahli-ahli PAS sendiri. 
 
Sebaliknya, PAS sebagai “saudara tua” dalam jemaah Islam di Malaysia, memberi amaran pada Amanah jangan cuba “menggoda” ahli-ahlinya. 
 
Malah PAS juga tidak kurang tinggi keyakinannya dan mendakwa bahawa sejak  kemunculan Amanah, ia kini berhasil akan “memancing” lebih ramai muslim menganggotai PAS.
 
Melangkau soal perangkaan, sayembara politik di antara PAS dengan Amanah ini akan berlegar di sekitar penafsiran dan penterjemahan tiga konsep utama bagi “meminang” kepercayaan rakyat muslim di Malaysia. 
 
Presiden Amanah, Mohamad Sabu, melontarkan istilah takfiri atau ideologi yang cenderung melabel hingga mengkafirkan orang lain yang dikaitkan dengan amalan PAS kini. 
 
Jika bersilang pendapat dengan pimpinan, maka individu atau golongan berkenaan dianggap tidak sesuai menyertai PAS. Beliau menyindir bahawa ideologi takfiri yang menjadi punca beliau dan kawan-kawan menubuhkan Amanah. 
 
“Ketaksuban golongan takfiri ini sememang tidak langsung menunjukkan bahawa mereka memahami anjuran Islam untuk meraikan dan mengurus ikhtilaf atau perbezaan. 
 
“Bagi mereka, keluar dari jalur pemikiran dan ketaatan kepada kepimpinan organisasi mereka, adalah sama seperti keluar dari agama Islam.
 
“Semua entiti dan organisasi takfiri mempunyai ciri-ciri utama ini, walau apapun nama dan label mereka,” kata Mat Sabu. 
 
Beliau berkata, secara khususnya perang saudara telah berlaku di negara umat Islam seperti Iraq, Libya dan Somalia mengakibatkan di Syria sahaja lebih 6.5 juta pelarian melimpah seluruh dunia.
 
Katanya, ini adalah lambang bencana takfiriyah yang sangat mudah menghukum individu lain yang tidak sehaluan sebagai kafir dan munafik hingga mencetuskan pertumpahan darah.  
 
Di sinilah, kata Mat Sabu, Amanah tegas menolak segala rupa bentuk dan pelbagai penampilan ideologi takfiri kerana ia jelas memusnahkan kemurniaan dan kesucian Islam.
 
Di segi politik, Amanah mempertaruhkan kempen penyebaran makna dan kesan takfiriyah untuk menyapa minat muslimin Malaysia mendekati dan menyokong Amanah. 
 
Bagaimanapun, presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, nampaknya sudah dapat membaca “tekanan” yang bakal dihadapi oleh PAS jika ia “berpatah arang dan berkerat rotan” dengan Mat Sabu dan kawan-kawannya. 
 
Lantaran itu, beliau memperkenalkan dua istilah untuk mempersiapkan PAS melayan terjahan dan cabaran kumpulan yang akan menggunakan ideologi takfiriyah untuk memomokkan parti PAS yang dipimpinnya. 
 
Hadi melontarkan istilah tasahul dan tasyaddud yang beliau kaitkan dengan rancangan besar musuh-musuh Islam untuk mengekang kebangkitan perjuangan Islam di seluruh dunia. 
 
Kata Hadi, jarum hasutan disuntik di dalam pemikiran pejuang-pejuang Islam yang boleh disifatkan sebagai mangsa fahaman sekularisme yang cuba memisahkan tuntutan agama dengan kemodenan. 
 
“Kalangan yang berjuang secara tasahul ingin menceduk setiap perkembangan di luar Malaysia seperti revolusi Islam Iran, AKP di Turki, Ikhwan Hizbu al Nadhah di negara Arab tanpa melihat perbezaan waqie’ (realiti) di bumi tempat kita berpijak.
 
“Sedangkan kita di tanahair ini telah jauh bergerak dalam matlamat memurnikan aqidah dan amalan masyarakat Islam ke jalan yang tulen berbanding suasana masyarakat di tempat rakan-rakan kita di luar sana,” kata Hadi. 
 
Beliau berkata, walau pergerakan atau jamaah luar Malaysia ini adalah rakan-rakan seperjuangan PAS tetapi mereka bergerak di bumi dan waqie’ yang berbeza pula. 
 
“Manakala dari kalangan yang kedua iaitu bertasyaddud, iaitu mahu melaksanakan Islam dalam sekelip mata, atau menang secara cepat tanpa pilihanraya seperti Taliban, al Qaedah dan Isis atau DAAISH.
 
“Kumpulan ini juga melibatkan kalangan ulama dan ilmuan yang bersemangat Islam tetapi tidak feqah dalam harakah Islamiyyah dan perlu dinasihati dan dibimbing,” kata Hadi. 
 
Yang pasti cabaran selanjutnya bagi PAS dan Amanah ialah bagaimanakah penerangan, penghuraian dan pemujukan hendak dibuat supaya ia berkesan memenangi sokongan pengundi muslim. 
 
Mampukah Amanah melekatkan persepsi bahawa PAS mabuk dirasuk ideologi takfiriyyah dan mungkinkah PAS pula berhasil mendedahkan penyakit tasahul dan tasyaddud dalam jalur perjuangan Amanah?
 
Bagi Amanah ukuran kejayaannya mungkin dapat dilihat dalam tempoh 100 hari apabila ia berjaya mendaftarkan 100,000 ahli seperti yang telah diisytiharkannya sendiri. 
 
Bagaimanapun bagi PAS pula, ia mungkin memerlukan masa agak lebih panjang dari itu. Ini kerana Amanah berasa dalam posisi yang agak selesa. Kempennya ialah menerangkan rasional di sebalik kelahiran parti itu. 
 
Ini memberinya peluang untuk membuktikan, menyindir, dan menuduh betapa PAS kini dijangkiti penyakit takfiri. 
 
PAS pula perlu bekerja lebih gigih. Ia perlu memerhati dan menonjolkan dalil sikap gopoh atau tasyaddud Amanah serta betapa parti itu “rabun” visinya yang mudah diuja pengalaman dan model gerakan Islam luar negara yang dipalit ideologi tasahul.
 
Amanah merancang denai politiknya dengan agak mudah kerana memang sudah menghabiskan berpuluh tahun dengan PAS untuk mengumpulkan pelbagai anekdot yang boleh membuktikan takfiriyyah wujud dan menjalar dalam PAS. 
 
Namun PAS juga berpeluang untuk mengutip bukti dan contoh kegopohan dan “jiwa kecil”  pemimpin-pemimpin Amanah yang nyata tidak istiqamah dalam perjuangan ketika mereka menjadi ahli PAS. 
 
Namun alangkah baiknya jika pemimpin dan pengikut kedua-dua parti itu mempercayai apa yang disebutkan Haji Hadi sendiri dalam ucapan pembukaan Muktamar PAS ke-61 kira-kira lebih sedikit 100 hari lalu:
 
“Sebenarnya tidak ada pemisahan di antara ulama dan profesional dalam bahtera PAS. Apa yang berlaku adalah kita berdepan dengan tempias sekularisme yang diwujudkan untuk menghalang kebangkitan Islam, yang cuba membolos ke dalam saf gerakan Islam.”
 
Selagi dua entiti politik Islam ini saling mencari-cari perbedaan dan enggan hinggap pada dahan persamaan selagi itulah umat Islam di negara ini akan menari mengikut rentak musuh-musuh Islam. 
 
Tidak guna perjuangan yang dilakukan atas nama Allah jika pihak manapun “yang menang akan menjadi abu dan yang kalah menjadi arang.”
 
 

Tiada ulasan: