[ULASAN] ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib dan Adun Morib, Hasnol Baharuddin akan duduk di kerusi barisan mana dalam sidang Dewan Undangan Negeri bermula 30 Oktober hingga 13 November depan?
Adakah mereka duduk di kerusi dalam
barisan kerajaan atau pembangkang? Atau, adakah mereka akan menemani
Adun dari Pelabuhan Kelang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai ADUN
bebas?
Jika mereka dikira sebagai pembangkang,
maka sudah tentu mereka akan duduk sebaris dengan wakil-wakil rakyat
Umno yang membentuk sektor pembangkang dalam Dewan Negeri.
Hasnol dan Saari secara automatik
meninggalkan PAS apabila menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) yang
dilancarkan pada 16 September lalu.
Jika berdasarkan perkembangan politik
mutakhir, parti baru mereka Amanah, adalah anggota Pakatan Harapan,
gagasan yang dibentuk pada 22 September lalu bersama PKR dan DAP.
Justeru jika menurut semangat setiakawan
Pakatan Harapan sewajarnyalah mereka di barisan kerusi wakil rakyat
kerajaan. Namun Amanah masih bukan parti politik rasmi kerana belum
mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Bagaimanapun realiti politiknya, kerajaan
negeri Selangor kini diterajui bersama PAS, DAP dan PKR. Adalah jelas
PAS bukan ahli Pakatan Harapan yang baru dibentuk itu dan secara
moralnya, tidak wajar berada di barisan kerusi kerajaan.
Persoalannya, Menteri Besar Selangor,
Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR mahu mengikut protokol politik
yang mana – mengutamakan wakil-wakil rakyat dari parti yang membentuk
kerajaan sedia ada (iaitu PKR, DAP dan PAS) atau menghormati ahli baru
Pakatan politik nasional, Amanah?
Agak pelik keadaannya jika ada wakil
kerabat Pakatan Harapan diletakkan bersama wakil-wakil Umno sebagai
pembangkang atau dianggap wakil yang tidak berparti seperti Tan Sri
Khalid. Jika demikian, tidakkah itu bermakna Azmin tidak mengiktiraf
Amanah?
Jika mereka diletakkan di barisan
kerajaan, tentu itu akan menyinggung sensitiviti PAS. Kedua-dua bekas
wakil rakyat PAS itu kini dianggap “pengkhianat” oleh PAS.
Sudah pasti PAS akan tidak selesa dan
perlu membuat protes terbuka berhubung isu tempat duduk Hasnol dan Saari
jika diletakkan sebaris mereka sebagai wakil-wakil kerajaan.
Kedudukan mereka dalam sidang Dewan akan
datang menarik perhatian kerana ia membayangkan sama ada penubuhan
barisan Pakatan Harapan oleh parti-parti pembangkang sudah mula
berkuatkuasa atau tidak.
Keadaan ini agak berbeza dengan kedudukan
bekas ahli-ahli PAS lain baik di Dewan Undangan negeri mahupun Dewan
Rakyat yang melompat parti menyertai Amanah dan PKR.
Bekas wakil rakyat PAS seperti Datuk Nizar
Jamaludin (Perak), Datuk Pharolrazi Zawawi (Kedah) Aminohuda Hassan
(Johor), dan Syed Hamid Syed Ahmad (Pahang) tidak menghadapi masalah
seperti Saari dan Hasnol. Mereka tetap di barisan pembangkang kerana
negeri-negeri berkenaan dipimpin BN.
Begitu juga dengan bekas ahli-ahli
parlimen PAS, Dr Siti Mariah Mahmood (Kota Raja), Dr Hatta Ramli (Kuala
Kerai), Abdul Khalid Samad (Shah Alam), Raja Kamarul Bahrin (Kuala
Terengganu) dan Hanifa Maidin (Sepang). Keadaan ini meliputi Kamaruddin
Jaafar (Tumpat) yang menyertai PKR. Mereka kekal di barisan pembangkang
dalam parlimen.
Kes Saari dan Hasnol agak unik kerana
nyata baik PKR mahupun PAS nampaknya masih perlu berpaut pada kedudukan
dalam kerajaan Selangor.
Jika Azmin memilih untuk meraikan Pakatan
Harapan yang baru ditubuhkan, sudah tentu beliau boleh memutuskan Hasnol
dan Saari duduk di barisan wakil rakyat kerajaan.
Namun seperti disentuh sebelum ini,
tindakan itu pasti mengusik sensitiviti PAS. Bagaimanapun jika Hasnol
dan Saari didudukkan bersama Khalid Ibrahim ia melambangkan PKR kurang
hormat pada sekutu barunya, Amanah.
Yang pasti, Azmin tidak akan berani
menganggap Amanah sebagai parti pembangkang dalam Dewan Selangor dan
mengizinkan Hasnol dan Saari duduk sebaris dengan wakil rakyat Umno.
Kini terpulang kepada PAS untuk membantu
meleraikan dilema ini. PAS boleh mengarahkan wakil-wakil rakyatnya
beralih tempat duduk ke barisan pembangkang.
Ini bermakna PAS berani meninggalkan
kerusi empuk dan kuasa pentadbiran dalam kerajaan negeri dan bertindak
sebagai pembangkang di Selangor.
Apa yang perlu PAS gusarkan. Lambat laun
memang di situlah tempat mereka duduk selepas pilihanraya umum ke-14
kelak kecuali jika ia mampu menawan sekurang-kurangnya 28 kerusi kelak.
PAS juga harus akur dan bersedia menjelang
PRU 14 ia akan akan 'dibelasah' PKR dan kawan-kawannya dari DAP dan
Amanah kerana PAS bukan lagi anggota pakatan pembangkang.
Di peringkat ini, PAS seharusnya berasa
maruahnya tercabar kerana hanya 'menumpang ihsan PKR' untuk terus berada
dalam kerajaan negeri Selangor.
Sebaliknya, jika wakil-wakil rakyat PAS
menyeberang tempat duduk, bolehlah ia mencongak bagaimana mahu menawan
kembali kerusi pemerintahan kerajaan Selangor. Satu pilihan ialah
membuat kejutan bersama jiran barunya, Umno.
PKR kini memang tidak tergamak dan tidak
berani menolak PAS dari gabungan parti memerintah Selangor kerana ia
kini tinggal 13 kerusi dan perlu “memimpin” DAP yang mempunyai 15
kerusi.
Tambahan pula kini masih belum diketahui dengan pasti di antara PKR dan DAP, siapakah pilihan utama Amanah.
Jika Amanah cenderung pada DAP, maka parti
itu akan mempunyai sokongan 17 wakil rakyat. Jika sebaliknya, keutuhan
maruah PKR masih boleh dipertahankan untuk PKR memimpin Selangor kerana
ada 15 kerusi, setara dengan DAP.
Oleh itu, jalan selamat bagi PKR ialah
menjadikan PAS “kuda tunggangan” untuk beberapa bulan akan datang demi
memelihara “air muka”nya dengan mengizinkan wakil PAS duduk di barisan
kerusi parti kerajaan.
Di sisi lain, bicara tempat duduk ini
membayangkan realiti politik di Malaysia hari ini. Walaupun prestasi BN
sebagai pemerintah dilihat agak lesu kini, namun pihak pembangkang pun
juga tidaklah seutuh mana.
Dilema politik di Selangor membuktikan
Pakatan Harapan masih tiada kekuatan moral mahupun teknikal untuk
membuktikan ia mempunyai iltizam politik untuk menggantikan BN
memerintah Malaysia.
Jika ia benar yakin, seharusnya Azmin
mendudukkan Hasnol dan Saari di barisan kerajaan dan mengarahkan
wakil-wakil rakyat PAS duduk di pihak pembangkang.
Begitu juga dengan PAS. Jika ia yakin
mampu berdikari dalam politik Malaysia, berilah notis akan berpindah
keluar dari gabungan kerajaan Selangor.
Dengan cara itu, mesej yang dihantar
kepada pengundi akan lebih jelas bahawa PAS dan Pakatan Harapan adalah
dua entiti politik yang mempunyai keberanian dan iltizam yang melayakkan
mereka menggantikan BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan