HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 September 2015

Duta: Jangan jadikan lawatan saya isu antikerajaan M'sia

MALAYSIAKINI


 


Duta Besar China ke Malaysia Huang Huikang mengingatkan bahawa lawatannya ke Jalan Petaling Jumaat lalu tidak harus dijadikan sebagai satu isu anti kerajaan Malaysia.

Huang mengulangi bahawa lawatannya itu adalah untuk menunjukkan muhibah kepada masyarakat
setempat, dan juga untuk mengetahui sama ada terdapat seberang kebimbangan keselamatan, sebelum membuat keputusan sama ada akan mengeluarkan nasihat perjalanan kepada pelancong dari China.

Dalam temu bual dengan akhbar tempatan, beliau melahirkan rasa kesal bahawa lawatan muhibah beliau itu telah disalah faham dan digunakan oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda, lapor Sin Chew Daily hari ini.

"Saya sokong penuh dan menghormati kerajaan Malaysia. Tidakkah mesej itu cukup jelas?

"Apabila anda bercakap tentang konteks isu ini, tidak ada mana-mana orang yang berfikiran jelas, akan berkata duta China itu campur tangan dalam hal ehwal dalam negeri."

Bagaimanapun, beliau tidak menyesal melawat Jalan Petaling.

"Kenyataan yang saya buat semasa lawatan ke Jalan Petaling. Adakah saya sebut Malaysia? Adakah saya sebut Cina Malaysia? Adakah saya sebut Jalan Petaling?

"Ini adalah ucapan yang sangat biasa. Ia adalah pendirian kerajaan China selama ini. Kami telah mengatakan dan berbuat demikian sejak 66 tahun yang lalu, dan tidak ada orang yang membantah.

"Saya bertanya kepada rakan-rakan di Malaysia sama ada terdapat apa-apa yang salah dengan ucapan itu. Tiada siapa yang beritahu saya bahawa ia adalah salah."

Huang berharap perkara itu tidak berbangkit lagi atau jika tidak ia boleh menjejaskan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Beliau menjelaskan bahawa lawatan beliau ke Jalan Petaling adalah kerana ia merupakan tempat kegemaran pelancong dari China.

"Saya dengar ia tak selamat. Seseorang ada berkata Jalan Alor mungkin jadi sasaran pengganas. Ramai orang bertanya kepada saya, adalah Kuala Lumpur selamat?"

"Malah Kedutaan Amerika Syarikat mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyatnya. Ia adalah tempat tumpuan pelancong. Oleh itu saya perlu menilai sendiri sama ada untuk mengeluarkan satu nasihat."

Walaupun beliau tidak menerima sebarang surat panggilan dari Wisma Putra, Huang menyifatkan pertemuannya dengan pemangku Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin sebagai "satu kunjungan kerja".

Selepas menjelaskan tentang lawatannya ke Jalan Petaling dengan Wisma Putra, Huang berkata, kerajaan Malaysia mahu 'memanggil' beliau untuk mengetahui sama ada kenyataan beliau telah diputarbelit atau tidak.

Beliau berkata, "dipanggil" bukan satu isu, tetapi ia mungkin menimbulkan satu masalah besar apabila panggilan kepada seorang duta dibuat melalui media.

Huang berkata pertemuannya dengan Hamzah, tidak jatuh ke dalam kategori 'dipanggil'. Mkini English


Tiada ulasan: