HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 September 2015

Pembangkang gesa Obama batal jumpa Najib

Pembangkang gesa Obama batal jumpa Najib
Wan Azizah ketika sidang media di Pejabat PKR hari ini.
 
 
PETALING JAYA - Pakatan Harapan menggesa agar Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama membatalkan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta menggantung semua rundingan bersabit perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).
 
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, tindakan itu wajar dilakukan sehingga siasatan ke atas Najib selesai dijalankan.
 
"...adalah wajar bagi Presiden Obama membatalkan perjumpaan dengan Najib yang dijadualkan November ini sehinggalah siasatan diselesaikan terlebih dahulu di AS bagi mengelakkan persepsi yang buruk ke atas kedua-dua mereka.
 
"Hanya selepas Najib menyelesaikan masalah krisis kredibiliti dan isu-isu berkait dengan tuduhan penyelewengan 1MDB barulah sebarang rundingan yang melibatkan kedaulatan negara boleh diteruskan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini hari ini.
 
Menurutnya, laporan The New York Times pada 21 September lalu memberi gambaran bahawa Najib dan keluarganya sedang disiasat oleh Jabatan Keadilan AS.
 
"Ini pertama kali berlaku dalam sejarah negara apabila seorang Perdana Menteri disiasat oleh negara asing atas tuduhan jenayah. Ia bawa kesan besar kepada kebebasan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat selain menjejaskan imej Malaysia di mata dunia yang sekaligus memberi kesan buruk kepada sentimen pelabur terhadap Malaysia.
 
"Siasatan ke atas Najib ini merumitkan hubungan diplomatik kedua-dua negara ketika kerajaan dan AS sedang merunding perjanjian TPP yang telah mengundang pelbagai kontroversi," katanya.
 
Sehubungan itu, pakatan pembangkang juga mengingatkan Najib agar tidak menjadikan tekanan penyiasatan AS terhadapnya sebagai alasan untuk menandatangani perjanjian TPP.
 
"Kerajaan AS perlu menggantung semua rundingan bersabit perjanjian TPP dengan Najib untuk mengelakkan persepsi bahawa konflik kepentingan yang timbul akibat siasatan itu.
 
"Mengambil kira krisis kredibiliti yang dihadapi oleh Najib, Pakatan Harapan berpendapat sokongan kuat kerajaan AS terhadap pentadbiran beliau perlu dikaji semula sebagai langkah menjaga hubungan baik antara Malaysia-AS yang dibina selama ini dan juga pada masa akan datang," katanya.
 
 

Tiada ulasan: