KUALA LUMPUR,  Para peserta program Berjalan Kaki Sebatu 2015 sempena Hari Jantung Sedunia ke-14 di Taman Botani Perdana, dekat sini terpaksa berjalan dalam keadaan berjerebu selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di ibu kota mencatatkan bacaan 168 pada pukul 8 pagi tadi.


Bagi Roslan Rusly, 31, keadaan berjerebu tersebut tidak menghalangnya untuk beriadah dan mengambil bahagian dalam program berkenaan.

“Sekalipun keadaan jerebu dan jarak penglihatan yang agak terhad namun aktiviti kecergasan perlu dilakukan.

“Pada hari biasa saya sibuk bekerja dan apabila ada peluang untuk mengeluarkan peluh, sudah tentu saya akan memanfaatkannya,” katanya di sini hari ini.
Roslan tetap ceria bersama ahli keluarga dan penganjur program Berjalan Kaki Sebatu, meskipun jerebu di Taman Botani Perdana, pagi tadi. Foto ihsan Roslan
Roslan tetap ceria bersama ahli keluarga dan penganjur program Berjalan Kaki Sebatu, meskipun jerebu di Taman Botani Perdana, pagi tadi. Foto ihsan Roslan
Tambah Roslan, pihak penganjur juga mementingkan soal kualiti udara di sekitar lokasi penganjuran dan menyediakan topeng muka kepada para peserta.

“Jadi saya memakai topeng muka sepanjang program diadakan dan ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesan jerebu pada kesihatan saya,” ujarnya.

Seorang lagi peserta, Nabilah Jamil, 28 memberitahu persekitaran Taman Botani Perdana yang dipenuhi dengan tumbuhan hijau membantu kualiti udara di sekitar kawasan berkenaan.

Katanya, sekalipun jerebu agak tebal namun udara di kawasan berkenaan tidak berbau asap seperti semalam.

“Jerebu bukanlah penghalang bagi saya untuk beriadah terutamanya bagi kesihatan jantung saya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Nestlé Malaysia Berhad, Alois Hofbauer terharu dengan dedikasi dan kesungguhan para peserta yang menyertai program berkenaan.

Katanya, jumlah kehadiran pada kali ini melebihi 3,000 orang dan ia merupakan rekod baharu dalam sejarah penganjurannya.

“Saya meminta maaf kerana keadaan berjerebu namun cukup berbangga apabila melihat ribuan peserta yang sanggup hadir untuk menjadi sebahagian daripada program hari ini,” tegasnya.