HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 September 2015

Jerebu: Beri cuti tanpa rekod kepada pekerja

SINAR HARIAN


MTUC
MTUC


SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)menggesa majikan di dalam sektor swasta untuk menimbangkan pemberian cuti tanpa rekod kepada pekerja mereka yang terjejas akibat jerebu sehingga kualiti udara pulih kembali.   

Timbalan Setiausaha Agung MTUC, A. Balasubramaniam berkata, ini adalah satu cara untuk mengurangkan kesukaran yang dihadapi pekerja berikutan cuaca berjerebu yang semakin buruk.

"Majikan di sektor swasta perlu berlembut untuk memberikan cuti tanpa rekod untuk pekerja mereka apabila keadaan jerebu semakin buruk. 

"Majikan juga sepatutnya memberikan topeng muka percuma untuk pekerja mereka yang terjejas disebabkan jerebu dan memastikan mereka tidak terlibat dengan sebarang aktiviti luar," katanya kepada Bernama.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sekolah tutup jika jarak p'lihatan kurang 500m]

[ARTIKEL BERKAITAN: Sekolah di Selangor, KL, Putrajaya, N.S tutup esok]    

Balasubramaniam berkata, walaupun kebanyakan pekerja sektor swasta bergantung kepada ihsan majikan mereka untuk mendapat cuti tanpa rekod, ia menjadi tanggungjawab sosial majikan untuk menjaga kebajikan pekerja mereka dan menyediakan bantuan yang diperlukan, termasuk cuti tanpa rekod semasa cuaca berjerebu.   

"Kami berharap majikan tidak akan mengambil tindakan yang drastik terhadap pekerja yang tidak dapat datang bekerja semasa tempoh kritikal ini," katanya.   

Dalam isu lain, Balasubramaniam menggesa kerajaan untuk mendidik orang awam mengenai kesan pembakaran terbuka secara haram kerana ia akan menjejaskan kesihatan  pekerja jika tidak dipantau.            
 Beliau berkata kesatuan pekerja juga mengenal pasti pembakaran terbuka di tapak pembinaan dan kawasan industri juga memberi kesan kepada kesihatan pekerja selain daripada menyumbang kepada masalah alam sekitar seperti jerebu. - Bernama


Tiada ulasan: