HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 September 2015

Maklumat pantas punca kerajaan hilang integriti

Shahrizat Abdul Jalil
Datuk Seri Shahrizal Abdul Jalil pada Forum Komunikasi Dunia 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini. Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN.


KUALA LUMPUR - Kepantasan menyebarkan maklumat khususnya menerusi media sosial seperti Facebook boleh mengakibatkan salah tafsir dan tidak berasaskan kepada fakta.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan penyebaran maklumat tidak berasas itu oleh menimbulkan pemberontakan dan ketidakpercayaan masyarakat terhadap kerajaan.

"Kerajaan mesti faham, menasihat, serta menggunakan teknologi dan platform media digital untuk membawa kesan positif kepada sektor awam dan swasta, dan juga rakyat.

"Oleh itu, teknologi perlu diuruskan untuk mengoptimumkan dan memberi faedah positif kepada sosio-ekonomi," katanya ketika berucap pada Forum Komunikasi Dunia 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Shahrizat berkata, pengamal media termasuk pengguna media sosial perlu bertanggungjawab dan berintegriti terhadap sebarang berita yang disebarkan.

"Apabila kita menerima apa-apa berita terutama melalui media sosial, kita mesti periksa dahulu, siasat dahulu, kerana bukan semua yang disebarkan oleh media sosial itu semuanya betul.

"Ramai orang dianiaya melalui media sosial, kongsi saja, lepas itu bila kita nak perbetulkan keadaan, orang dah tak minat nak dengar," ujarnya.

Sehubungan itu, Shahrizat turut mengingatkan pengguna media sosial supaya tidak menganiya atau menzalimi mana-mana pihak apabila menyebarkan maklumat tanpa rasa tanggungjawab.

"Jangan kita menganiaya atau menzalimi sesiapa sesuka hati tanpa integriti dan tanggungjawab melalui komunikasi dan media sosial," katanya lagi.


Tiada ulasan: