SHAH ALAM - Sebanyak 50,000 petisyen dikumpulkan oleh ahli Malaysia Organisation of Vape Entities (Move) bagi memastikan pengawal seliaan produk rokok elektronik atau vape diuruskan dengan baik.
Menurut Presidennya, Samsul Kamal Arrifin, ia bagi memastikan pembuatan, penjualan dan pengedaran produk berkaitan vape dikeluarkan secara sistematik, selamat serta berstruktur.
“Ini bertepatan dengan masanya kerana perniagaan vape semakin mendapat tempat di Malaysia.
“Ramai telah menukar gaya hidup untuk vape sebagai alternatif merokok,” katanya ketika ditemui semasa penyerahan petisyen, semalam.
Petisyen diserahkan kepada Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun selaku wakil untuk membawa petisyen itu kepada Kementerian Kesihatan.
Mengulas mengenai petisyen itu, Samsul Kamal berkata, ia dikumpulkan sejak Julai lalu menerusi laman web www.change.org.
Jelasnya, rata-rata rakyat negara ini mengatakan vape lebih memudaratkan berbanding rokok sedangkan vape menggunakan cecair yang diwapkan menggunakan pemanasan secara elektronik.
“Rata-rata pengguna vape mahukan penggunaan dan penghasilan cecair dikawal selia seperti rokok,” katanya.
Katanya, antara inisiatif diambil oleh Move adalah menjemput pakar dan penyelidik dari luar negara untuk memberi pengetahuan yang betul kepada orang ramai.
“Selain itu, kempen Reach One, Teach One turut diperkenalkan bagi memastikan pengguna vape berpengalaman memberi pengetahuan kepada pengguna baharu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan