HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 September 2015

Zahid perlu jujur, Bersih 4 berbeza dengan ektremis Baju Merah

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR - Perhimpunan Bersih 4 yang mahukan reformasi pilihan raya dan menggesa Datuk Seri Najib Razak berundur atas dakwaan rasuah adalah berbeza dengan Perhimpunan Baju Merah pada 16 September lalu.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, berbeza dengan Perhimpunan Bersih, Perhimpunan Baju Merah disertai kelompok ektremis yang sengaja menimbulkan isu perkauman dan ketegangan kaum.

Fahmi“Perhimpunan Bersih 4 selamat dan tidak menyebabkan apa-apa kecederaan atau kerosakan harta benda awam, malah pihak FRU juga tidak perlu dikerahkan.

“Ini jauh berbeza apabila dibandingkan dengan himpunan “baju merah” di mana sekelompok ekstremis “baju merah” dengan sengaja melanggar arahan polis yang melarang mereka memasuki kawasan Petaling Street, sehingga pihak FRU dan trak meriam air terpaksa digunakan,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang meminta rakyat tidak lagi menggunakan demonstrasi jalanan untuk menyatakan pandangan.

Menurut Fahmi, walaupun kenyataan itu berniat mengelakkan kumpulan pelampau seperti Baju Merah mengganggu ketenteraman awam, namun ia melanggar Perlembagaan yang memberi jaminan hak berhimpun secara aman.

“Kenyataan beliau juga tidak serasi dengan matlamat Akta Perhimpunan Aman 2012 seperti termaktub di dalam Perkara 2 akta tersebut,” ujarnya yang juga Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK).

Oleh itu, katanya, Zahid wajar bersikap lebih jujur dengan tidak menafikan hak mana-mana rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata seperti Perhimpunan Bersih 4.

“Beliau tidak patut menafikan hak seluruh rakyat Malaysia untuk berhimpun dengan aman hanya kerana penganjur himpunan “baju merah” gagal mengawal keadaan, terutama di kawasan Petaling Street,” katanya.

Tiada ulasan: