THE RAKYAT POST
Tindakan Duta China ke
Malaysia, Dr Huang Huikan yang melawat Petaling Street dan mengeluarkan
kenyataan berkaitan isu demonstrasi di negara ini, sebagai `melanggar
batas’ dengan mencampuri urusan domestik Malaysia. Foto TRP/ Azrol Ali
KUALA LUMPUR, Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang didesak menyatakan permohonan maaf atau pulang saja ke negaranya untuk digantikan dengan diplomat lain yang lebih tahu adab.
Cadangan itu diutarakan Awang Selamat
dalam ruangan penulisannya di Utusan Malaysia, hari ini, yang dilaporkan
menganggap tindakan pegawai tertinggi kanan China itu yang melawat
Petaling Street dan mengeluarkan kenyataan berkaitan isu demonstrasi di
negara ini, sebagai `melanggar batas’ dengan mencampuri urusan domestik
Malaysia.
“Negara besar China sudah tentu tidak
suka mana-mana pihak mencampuri urusan domestik negara itu dan selama
ini Malaysia cukup menghormati pendirian tersebut. Campur tangan asing
dianggap pantang besar dan hal yang sangat sensitif.
“Tindakan Dr Huang Huikang melawat
Petaling Street dan turut mengeluarkan kenyataan berkaitan isu
demonstrasi, ternyata bercanggah dengan dasar negaranya.
“Malulah,
anda seorang diplomat yang sepatutnya tahu batas di samping
menterjemahkan polisi negara sendiri dengan tingkah laku,” katanya.
Awang Selamat turut mengingatkan China
bahawa ketika mereka juga berdepan banyak masalah dalam negara, diplomat
asing termasuk Malaysia juga boleh menyibuk untuk mengulas apa sahaja.
Beliau berkata, Dr Huang seharusnya
memberi keyakinan kepada pihak berkuasa negara ini menangani isu ancaman
demonstrasi haram di Petaling Street, yang tidak pun berlaku.
“Alangkah baiknya jika Duta itu beri
lebih tumpuan kepada isu lambakan warga China dalam industri pelacuran
dan urut di negara ini ketika kerajaan China lebih tegas menentang
gejala itu di tanah air mereka.
“Apa pun, Dr. Huang perlu memohon maaf
atau pulang sahaja ke negaranya dan digantikan dengan diplomat lain yang
lebih tahu adab. Harap-harap itu pelanggaran yang pertama dan terakhir
daripada seorang diplomat China.
“Jagalah tepi kain sendiri dan janganlah lebih sudu daripada kuah.”
Pada masa sama, Awang Selamat turut
mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
yang sehingga hari ini masih belum menyiasat isu pemindahan aset
kerajaan negeri sebanyak RM30 bilion kepada Kumpulan Pelaburan Darul
Ihsan (DEIG) di bawah pimpinan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin
Ali.
“Di sebalik isu itu panas, menggegar serta melibatkan kepentingan awam, SPRM belum bertindak.
“Dana RM30 bilion bukan kecil malah boleh
dianggap pecah rekod. Dakwaan berlaku salah guna kuasa dalam pemindahan
aset itu seperti yang dilaporkan menuntut siasatan segera yang
menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata, hal itu dibangkitkan
kerana ada tanggapan SPRM kurang berani menyiasat pemimpin pembangkang
berbanding pemimpin kerajaan, yang tegasnya diharap tidak benar.
“Salah satu yang menjadi perbandingan
adalah Khir Toyo yang mudah didakwa ketika dalam jawatan Menteri Besar.
Itulah persepsi ramai. Dalam isu DEIG, Awang percaya Azmin tidak gentar
disiasat berdasarkan penafiannya sebelum ini.
“Pada masa yang sama, banyak tanda tanya belum terjawab, yang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Apa tunggu lagi… ?”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan