HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 September 2015

Lagi peringatan kepada Duta China

SINAR HARIAN



Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin


PUTRAJAYA - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin meminta pihak luar agar tidak mencampuri urusan dalaman Malaysia.

Mengulas kenyataan Duta China di Malaysia, Huang Huikang ketika membuat lawatan di Jalan Petaling di Kuala Lumpur Jumaat lepas, beliau berkata kenyataan yang dibuat duta itu boleh ditafsirkan sebagai mencampuri urusan negara. 

Katanya berdasarkan apa yang dibaca mengenai kenyataan itu, ia disahkan Kedutaan China dan media tidak tersalah lapor mengenainya.

"Walau apapun yang berlaku di Malaysia, kita (kerajaan) yang akan selesaikan dan bukan tempat beliau untuk ambil tindakan dan keluarkan kenyataan yang boleh ditafsirkan mencampuri urusan negara kita," katanya.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen Malaysia Datuk Naim Mohamad untuk Sukan Pekak Asia Pasifik ke-8 di Taoyuan, Taiwan, di sini hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: ‎Duta China jangan campur hal dalaman M'sia]

Nyata kecewa dengan kenyataan Huikang itu, Khairy berkata terpulanglah kepada‎ Wisma Putra untuk mengambil tindakan.

"Kita harus memberikan kepercayaan kepada Wisma Putra untuk buat sebarang keputusan sebab mereka yang mengendalikan soal diplomasi.

"Tapi kita kena hantar isyarat kepada negara-negara lain bahawa apa sahaja yang berlaku di Malaysia adalah urusan kita.

"Jangan sampai kita nak jaga hati negara-negara besar disebabkan kepentingan ekonomi dan sebagainya, sampai kita dah hilang maruah tak boleh nak tegur apabila mereka menyalahi norma diplomasi," tegasnya. - Bernama


Tiada ulasan: