SEPERTI Julius Caesar, Emperor
Rom, yang membawa bala tenteranya menyeberangi Sungai Rubicon pada tahun 49 SM,
kita di Malaysia pun sudah melakukan hal yang sama.
Tetapi janganlah kita berasa
terlalu sombong, mendabik dada berkata: “Aku sudah menyeberangi Rubicon.”
Kita terpaksa menyeberangi
Rubicon kerana Perdana Menteri, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung
Karaeng Sanrobone) Mohd Najib Abdul Razak telah terlebih dulu menyeberanginya.
![]() |
| Julius Caesar Menyeberangi Rubicon |
Beliaulah menyeberangi Rubicon apabila beliau merujuk kepada kebijaksanaan Bugis yang berbunyi, sekali layar terkembang pantang biduk surut ke pantai.
Dalam bahasa Bugis,
"kualleangi tallanga natowalia" atau dalam bahasa Melayu Indonesia,
lebih kupilih tenggelam (di lautan) daripada harus kembali lagi (ke
pantai)". (Daripada blog http://ila-galigo.blogspot.my).
Oleh sebab sebahagian daripada
kita kini menjejaki dan menghambat beliau maka kita juga terpaksa ikut
menyeberangi Rubicon.
Kita juga terpaksa mengikrarkan
apa yang Julius Caesar ikrarkan apabila tenteranya menyeberangi Rubicon. Kata
Caesar: “alea iacta est.” Acuan tekan sudah dituang maka terpaksalah kita
menerima bentuknya.
Kita sudah berusaha sedaya upaya
mengubah keadaan demi menyelamatkan negara kita berlandaskan kebijaksanaan
semasa (conventional wisdom). Tetapi kita gagal kerana Mohd Najib tidak
berjuang di atas landasan yang sama.
Conventional wisdom nampaknya
tidak ada tempat dalam strategi dan tindak-tanduk beliau. Sebaliknya beliau
bertindak di luar konvensyen dan kebijaksanaan semata-mata untuk menyelamatkan
diri.
Kita terpaksa akur kepada apa
yang sedang berlaku, iaitu sesuatu yang belum pernah kita lalui sejak merdeka
pada tahun 1957. Kita bermain bola di atas padang yang tidak rata, pengadilnya
berat sebelah dan kedudukan gol diubah-ubah.
Berfikir Secara Tidak Konvensional
Dalam situasi itu, kita perlu
memikirkan kemungkinan-kemungkinan berikut:
1. Kita terpaksa akur kepada
hakikat bahawa Mohd Najib tidak akan meletakkan jawatan dan kita tidak dapat
melakukan apa-apa sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.
2. Kita terpaksa menyediakan
minda untuk menerima kemungkinan usaha dilakukan untuk menangguhkan PRU
sekiranya Mohd Najib dan konco-konco beliau berasa mereka akan kalah.
3. Kita jangan sekali-kali
melakukan hal-hal yang boleh dijadikan alasan oleh Mohd Najib dan konco-konco
beliau untuk tidak mengadakan PRU.
4. Sekiranya PRU diadakan, kita
perlu melihat ke hadapan melepasi Mohd Najib dan hegemoni Umno/Barisan
Nasional.
5. Kita perlu melihat ke satu era
baru di mana Umno/BN bukan lagi tempat bergantung kerana Umno dan BN di bawah
kepemimpinan sekarang tidak lagi terangkum (incusive) dan peduli kepada
kepentingan rakyat jelata. Mereka bertindak seolah-olah mereka “lord and master
of the universe.”
6. Kita perlu memikirkan politik
yang lebih Malaysia, buta warna, berpaksikan kemanusiaan, ketamadunan dan
keluhuran Perlembagaan.
7. Dalam masa terdekat, kita
juga perlu memikirkan pewujudan gerakan massa non-partisan yang menggabungkan
penggiat dan pesara daripada segala aliran - politik, agama, profesional,
cendekiawan, usahawan, pesara tentera dan polis, pemimpin pelajar, badan-badan
bukan kerajaan dan sesiapa saja yang komited menyelamatkan Malaysia.
8. Kita perlu mempamerkan kepada
dunia yang semakin tidak percaya kepada negara kita bahawa kita peduli dan akan
melakukan apa saja bagi menyelamatkan negara kita. Insya-Allah.
Nota: Kepada yang berminat
memahami lanjut sebab mengapa saya menguar-uarkan gelaran Mappadulung
Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone, sila baca di sini.
![]() |
| Makam Sultan Hasanuddin, Raja Gowa, Sulawesi |
Wallahuaklam.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan