HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 November 2015

Sindiran halus Amanah kepada PAS, budaya mengkafir punca ekstremisme ala Isis




Parti Amanah Negara memberi amaran sikap tidak bertolak ansur dalam kepelbagaian dan anggapan kebenaran hanya milik jemaah tertentu menjadi punca keganasan dan ekstremisme ala Isis, kata Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa. – Gambar fail The Malaysian Insider, 24 November, 2015.  
Parti Amanah Negara memberi amaran sikap tidak bertolak ansur dalam kepelbagaian dan anggapan kebenaran hanya milik jemaah tertentu menjadi punca keganasan dan ekstremisme ala Isis, kata Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini memberi amaran sikap tidak bertolak ansur dalam kepelbagaian dan anggapan kebenaran hanya milik jemaah tertentu menjadi punca keganasan dan ekstremisme ala Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) serta insiden seperti letupan di Paris. 
 
 Kerisauan penularan ideologi itu dinyatakan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin dalam kenyataan mereka di Dewan Rakyat.
"Asasnya ialah sebaran secara sedar atau tidak disedari beberapa doktrin di kalangan pengkuliah dan penceramah agama antaranya menganggap jemaah atau kelompoknya memiliki kebenaran mutlak lalu mewajarkan pelabelan sesat, munafik dan mengkafirkan sesama umat Islam yang bukan dari kalangannya.

"Fenomena takfiri ini adalah asas pemikiran Isis dan seumpamanya. "Memilih wadah politik lain dengan meninggalkan parti lama dianggap pengkhianat dan layak mendapat laknat malah memaksa supaya isteri diceraikan berpandukan kepada ikat janji yang dibuat," kenyataan mereka dipetik.

Walaupun tidak menyebut secara langsung, kedua-dua ahli parlimen itu dipercayai merujuk kepada parti lama mereka, PAS yang sinonim dengan budaya mengkafirkan Umno serta mereka yang dianggap mengasingkan agama serta politik.

Ia juga merujuk kepada tindakan PAS yang mensyaratkan pemimpinnya beraku janji menceraikan isteri mereka sekiranya bertindak keluar parti.

"Pemikiran ini menjadikan tinggalkan parti politik tertentu dengan memilih wadah lain seolah keluar daripada Islam. Inilah pelabelan murtad, sesat munafik dan tinggalkan jemaah yang dikuliahkan sebahagian pengkuliah dan penceramah.

"Corak pemikiran inilah yang membentuk gaya Isis dan seumpamanya yang amat membahayakan masyarakat," kenyataan mereka dipetik lagi.

Mujahid dan Kamarul Bahrin yang turut mengadakan sidang media berkenaan perkara itu menggesa agar satu jawatankuasa ditubuhkan bagi mencegah perkara tersebut daripada terus menular.

"Kami menuntut kerajaan supaya lebih sensitif kepada corak pemikiran ini dan proaktif menangani kegiatan pra-keganasan secara ideologi ini dengan membentuk jawatankuasa mendepani ideologi ekstremisme di peringkat Parlimen," kata Mujahid.

Beliau turut menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan majlis agama negeri memantau penceramah serta isi kandungan kuliah di masjid dan surau bagi membendung pemikiran ekstremisme.


Tiada ulasan: