HALAMAN SANTAI

Rabu, 4 November 2015

Tiada arahan beku cuti Menteri pada musim tengkujuh - Shahidan

Oleh Azizul Osman 

 
Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Tiada arahan untuk membekukan cuti mana-mana menteri atau timbalannya sepanjang hujung tahun ini sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.
 
"Itu (arahan beku cuti Menteri dan Timbalan) tidak dibincangkan. Tahun lalu adalah berbeza. Masing-masing (Menteri dan Timbalan) akan menjalankan tugas seperti yang telah ditetapkan kecuali di unit APAM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) buat sementara waktu sehingga bulan Disember dan tentukan supaya mereka tidak bercuti", katanya di lobi Parlimen hari ini.
 
Beliau berkata demikian selepas ditanya pemberita merujuk kepada bencana banjir paling buruk melanda negeri di Pantai Timur, terutama Kelantan akhir tahun lalu.
 
Ketika rakyat Kelantan yang terlibat dengan banjir berdepan dengan saat sukar, kebanyakan menteri dan timbalannya dilaporkan berada di luar negara untuk bercuti.
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri terpaksa memendekkan cutinya dan pulang ke Malaysia bagi meninjau keadaan banjir yang berlaku di luar jangka itu.
 
Najib juga terpaksa memanggil pulang menteri-menterinya yang turut sama bercuti di luar negara ketika itu.
 
mengulas lanjut, Shahidan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara berkata, Malaysia kini bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan di peringkat pusat mahupun di peringkat pelaksana.
 
"Yang paling penting jentera di peringkat bawah berjalan dengan lancar bila berlaku banjir di peringkat komuniti sudah ada jentera jadi kehadiran di peringkat pusat ini lebih ke dalam bentuk penyelarasan. Yang penting saya (selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri) mesti ada disini, semua pihak duduk dibawah jawatankuasa. Yang paling penting adalah menteri yang uruskan bencana itu ada, persediaan rapi.
 
"Kita tidak perlu fikir kalau ada menteri barulah kerja jalan, tidak. Kebajikan (mangsa banjir) telah kita aturkan. Menteri ada tidak ada itu ialah tidak penting, yang penting adalah jentera kita bergerak", katanya.
 
Beberapa negeri di Pantai Timur antaranya Kelantan, Pahang, Terengganu mengalami banjir teruk pada penghujung tahun lalu yang mengakibatkan hampir lebih 32,000 mangsa di Kelantan terpaksa dipindahkan.
 
Ia dianggap banjir terburuk pernah berlaku di wilayah itu.
 
Ditanya samada banjir kali ini akan lebih teruk dari sebelumnya, jelas Shahidan fenomena kali ini diramal lebih memburuk.
 
"Ramalan banjir untuk tahun ini berbeza dari tahun-tahun sebelum ini kerana tahun ini akan menghadapi cuasa Al-Nino yang ekstrim, sepatutnya hujan lebat dari 1 hingga 3 haribuan (Disember) di Pantai Timur tapi hanya hujan renyai. 
 
"Sebagaimana kita tahu bahawa Al-Nino sedang berlaku di peringkat Lautan Pasifik, menyebabkan cuaca panas dan hujan tidak lebat seperti yang dijangkakan", katanya.
 
Kerajaan bagaimanapun katanya bersedia sepenuhnya untuk menghadapi fenomema itu.
 
"Kita ada empat episod, lagi 3 episod (banjir) akan dilalui di Pantai Timur dan kita akan lihat nanti samada ianya serius atau tidak", ujar beliau.
 
 

Tiada ulasan: