Azhar, yang lebih dikenali sebagai Art Harun, berkata akta itu tidak melindungi WSJ daripada disaman, tetapi bermaksud, jika seseorang defendan memenangi kes fitnah di Malaysia, beliau tidak akan dapat "menguatkuasakan" penghakiman mahkamah Malaysia itu di AS.
Art berkata ketidakupayaan untuk menguatkuasakan penghakiman mahkamah di AS itu sepatutnya kurang penting berbanding hakikat memenangi saman itu akan membersihkan nama Najib.
"(Akta Ucapan) bermakna jika seseorang yang difitnah menyaman WSJ di (Malaysia)... orang itu boleh menang saman itu jika dia dapat membuktikan kesnya. "Bagaimanapun, Akta Ucapan tidak membolehkan orang itu pergi ke Amerika... untuk menuntut supaya dikuatkuasakan penghakiman fitnah yang dia perolehi di Malaysia itu.
"Maknanya, jika (Malaysia) menganugerahi dia (dengan pampasan), dia tidak boleh pergi (ke AS) untuk mendapat pampasan daripada WSJ," tulis Art di laman Facebook beliau hari ini sebagai respons kepada penjelasan Yuktes Vijhay, seorang pegawai khas di Pejabat Perdana Menteri.
Yuktes berkata memandangkan Akta Ucapan menyediakan perlindungan terhadap penghakiman fitnah asing, Najib akan mendapati sukar untuk "meneruskan perkara itu".
"Implikasi akta ini menyukarkan bagi perdana menteri untuk menyaman WSJ.
"Beliau berkata, tidak seperti sistem undang-undang di United Kingdom, yang meletakkan beban untuk membuktikan kenyataan ke atas defendan, di mana dalam kes perdana menteri ini ialah WSJ, undang-undang AS meletakkan justifikasi niat buruk ke atas defendan."
Art berkata, kesan akta itu hanya dari segi menghalang Najib daripada mendapatkan pampasan kewangan dan mempersoalkan sama ada ia adalah benar-benar penting.
"Adakah Najib lebih mengambil berat mengenai pampasan kewangan itu atau melindungi reputasinya dengan membuktikan di mahkamah yang WSJ menipu?
"Tidakkah akan besar kesannya kepada reputasi beliau sekiranya beliau menyaman WSJ dan memenangi kesnya walaupun tidak akan boleh menguatkuasakan penghakimannya untuk mendapat pampasan kewangan?" kata Art.
Pada Oktober tahun lepas, peguam lain turut berkata perkara yang sama, memohon ganti rugi adalah perkara kedua bagi Najib berbanding membersihkan namanya.
WSJ menerbitkan berita yang menggemparkan pada Julai tahun lalu mengenai wang sejumlah RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Najib, dengan jumlah terbesar sebanyak AS$681juta, sebelum pilihan raya umum pada Mei 2013.
WSJ banyak melaporkan mengenai kes itu dan pengarang kewangannya Ken Brown baru-baru ini berkata, wang itu bukan berpunca dari Arab Saudi tetapi dari beberapa syarikat dan akaun bank yang "berkaitan" kepada firma pelaburan milik negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Najib, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan peguam negara berkata, wang itu adalah sumbangan politik daripada keluarga diraja Saudi.
Peguam negara turut berkata sebahagian besar daripadanya sudah dikembalikan kepada penderma kerana ia tidak digunakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan