Kritikan terhadap Umno adalah "penyedar" yang baik kepada parti, terutamanya kepada mereka yang memegang kuasa, kata Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa.
"Bahayanya adalah apabila ia bagai mencurah air di daun keladi, kesannya amat berbahaya. (Tapi) Saya rasa tidak mengapa, kita hidup dalam masyarakat yang bersikap amat berbuka, biarlah orang mengkritik kita, tidak mengapa, sebenarnya itulah yang kita perlukan.
"Bila orang kritik, bila tegur kita, barangkali itu boleh menyedarkan kita dan kita baiki, kerana tujuannya nak jadi kerajaan yang baik. Jika anda tidak mendengar, anda tidak boleh menjadi kerajaan yang baik. Jadi anda mesti dengar," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan Jawatankuasa Badan Perhubungan Umno Johor di Johor Baru hari ini. Ia merupakan lawatan sulung beliau ke Johor susulan pelantikannya sebagai Ketua Penerangan Umno pada 29 Januari.
Annuar berkata zaman apabila ilmu atau maklumat yang sebelum ini menjadi hak mutlak kerajaan sudahpun berlalu.
"Sekarang, (maklumat dari) bawah ke atas, atas ke bawah juga penting. Maka, jadilah kerajaan yang sensitif terhadap perasaan rakyat.
"Anda tahu, sesuatu yang mungkin nampak kecil bagi kita, (sebagai) orang penting di sini, tapi perkara yang kecil itu sebenarnya amat besar bagi rakyat, jadi kita perlu bersikap amat terbuka, beri maklumat yang tepat kepada akar umbi dan laksanakan perkara yang kita perlu lakukan," kata Annuar.
Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada Penerangan UMNO perlu mengambil pendekatan berbeza dalam mengendalikan masyarakat umum lebih-lebih lagi dalam era media sosial yang memberi lebih ruang kepada kritikan secara terbuka terutamanya dalam kalangan orang muda.
"Kita perlu pragmatik, kita perlu realistik. Kita kini beroperasi dalam persekitaran yang berbeza. Terdapat begitu banyak anak muda yang mempunyai akses kepada maklumat.
"Maka, kita tidak boleh melakukan perkara dalam apa jua cara yang boleh menghina kepintaran sebab mereka mempunyai akses kepada maklumat. Maka berterus-teranglah, bersikap terbuka dengan mereka, biar mereka kritik, biar mereka nyatakan sesuatu, tidak mengapa."
"Pada tahap tertentu, kita mesti bersikap amat bertolak ansur untuk mendengar terutamanya kepada golongan muda," katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan