HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Februari 2016

Pegawai Imigresen dipercayai bantu sindiket peroleh pasport tulen diberkas

 
Mereka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).


Khalid


PETALING JAYA: Polis memberkas dua pegawai Imigresen yang dipercayai membantu sindiket penyeludupan warga China memperoleh pasport antarabangsa Malaysia yang tulen.

Penangkapan anggota pihak berkuasa itu merupakan hasil usaha polis membongkar kerjasama antara rangkaian penyeludupan warga Republik Rakyat China (PRC) di Malaysia dan sindiket antarabangsa.

“Mereka menggunakan sindiket tempatan untuk mendapatkan pasport Malaysia yang tulen dengan penglibatan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia khususnya di Miri yang mengenakan bayaran RM40,000 untuk setiap pasport.

“Pasport ini digunakan untuk ke negara ketiga dengan menggunakan laluan udara, khususnya KLIA Sepang,” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan malam tadi.

Lima warga tempatan dan empat warga China disambar polis di sekitar KLIA dan Miri, Sarawak dalam operasi mengesan dan menangkap anggota sindiket terbabit yang bermula 4 Feb hingga semalam.

Khalid berkata aktiviti itu dikesan dilakukan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang menggunakan pasport antarabangsa Malaysia yang tulen.

“Anggota sindiket yang ditahan terdiri daripada seorang ejen penyeludupan manusia, dua fasilitator penyeludupan manusia, dua pegawai Imigresen, seorang ‘runner’ dan tiga warga China.”

Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM44,000, lima pasport Malaysia yang tulen; lima pasport China dan beberapa telefon bimbit.

Kesemua mereka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan disiasat di bawah Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Manakala tiga daripada warga China itu juga akan didakwa mengikut Seksyen 12 (1)(c) Akta Pasport 1966 kerana memiliki pasport tulen yang diperoleh secara salah.

“PDRM akan terus mempertingkatkan usaha untuk mengesan dan membanteras sebarang bentuk kegiatan penyeludupan manusia di negara ini,” katanya.

Tiada ulasan: