shahbudindotcom
Sejak
tengahari tadi, hampir semua perbualan dalam negara banyak tertumpu
mengenai tindakan saman yang diambil oleh Tun Mahathir Mohamad bersama
Khairuddin Abu Hassan dan Anina Saadudin terhadap Perdana Menteri, Najib
Razak atas dakwaan salah laku dalam pentadbiran negara.
Asas
salah laku yang dikaitkan terhadap Najib dalam saman itu ialah
berkaitan isu 1MDB, derma RM2,600 juta dan dana RM42 juta daripada SRC
International yang masuk ke akaun peribadinya.
Sudah
ramai juga pemimpin-pemimpin UMNO yang memberi reaksi berhubung
tindakan terbaru Tun Mahathir itu. Seperti biasa, Salleh Said Keruak dan
Azalina Othman Said adalah yang paling pantas dan cekap memberikan
komennya dalam hal-hal seperti ini.
Tetapi,
yang paling menarik sekali tentunya ialah komen yang diberikan oleh Nur
Jazlan Mohamed, bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara atau
PAC yang dilantik menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri pada 28 Julai
lalu di sebalik "ribut-ribut" Najib bergelut dengan kemelut 1MDB.
Beliau
menyifatkan Tun Mahathir tiada "locus standi" atau hak untuk mengambil
tindakan mahkamah kerana wang RM2,600 juta tersebut bukannya ada kaitan
dengan bekas Perdana Menteri itu.
Sekadar
mengatakan tiada "locus standi" mungkin dilihat biasa lagi, walaupun ia
merupakan hak mahkamah memutuskannya, namun dengan menambah bahawa
"apa yang Tun Mahathir lakukan ini adalah gimik politik, hendak
dapatkan publisiti saja", seperti tersirat ada keluarbiasaannya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan