KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) akan membentangkan usul bekas ketua
pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tahanan politik di Dewan
Rakyat minggu depan.
Menurut Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, usul berkenaan akan
dikemukakan salah seorang ahli Parlimen pembangkang memandangan ruang
untuk mengemukakan usul sudah dipenuhkan untuk minggu ini.
"Minggu depan kita (Pakatan Harapan) kemukakan (usul tahanan politik
Anwar Ibrahim) sebab dah penuh (minggu ini). Sebab semalam kita
dahulukan (Ahli Parlimen) Kuantan kemukakan isu anak-anak di Jabatan
Kebajikan Masyarakat, maka minggu depan kita bawa isu Anwar Ibrahim,"
katanya di lobi Parlimen.
Anwar yang dipenjarakan sejak Februari tahun lalu seringkali didakwa sebagai tahanan politik oleh pihak pembangkang.
Bekas Ketua Pembangkang itu dijatuhkan hukuman penjara selama lima
tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan
pada 2008.
Malah mereka turut 'menggunakan' pandangan beberapa pertubuhan luar sebagai mengukuhkan hujah berkenaan.
"Bila masa mereka pertikai terma tahanan politik, Parlimen Eropah
termasuk sekali dengan interparlimentery union (kesatuan antara
parlimen) baru sahaja mengeluarkan desakan Anwar Ibrahim dibebaskan dan
Parlimen Eropah sendiri menyebut bahawa Anwar harus dibebaskan bagaimana
tahanan politik lain.
"Pada saya berbalik kepada status, kita sudah failkan di peringkat PBB,
dapat keputusan kita sahkan bahawa beliau memang layak menjalani
kehidupan bebas , jadi kita akan tetapkan dengan kedudukan itu. Saya
tidak fikir perlu diheret dalam polemik Umno, menteri yang mewakili
kerajaan yang sememangnya akan memperlekehkan dan menghina selagi
boleh," jelas Nurul Izzah.
Sebelum ini Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari Persatuan Bangsa-bangsa
Bersatu (UNWGAD) mengiktiraf Anwar sebagai mangsa tahanan politik.
Badan itu dilaporkan menyifatkan penahanan Anwar menyalahi
undang-undang, dan layanan diberikan kepadanya di penjara melanggar
larangan antarabangsa terhadap 'penyeksaan atau sebarang bentuk layanan
lain yang zalim, tidak berperikemanusiaan atau menghina'.
Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan berkata setakat ini
kerajaan tidak pernah mempertimbangkan untuk melaksanakan hukuman
tahanan kediaman (home detention) kepada Anwar.
Ini kerana Malaysia tidak melaksanakan undang-undang berkenaan buat masa ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan