KLANG,— Penduduk di Kampung Tok Muda, Kapar di sini, menyifatkan kejadian banjir akibat fenomena air laut pasang besar awal pagi semalam di kawasan itu adalah yang terburuk setakat ini.
Adanan Suratman, 52, berkata beliau tidak pernah menyangka banjir seperti itu boleh berlaku di kampung berkenaan kerana kejadian seumpamanya tidak pernah terjadi sebelum ini.
Beliau yang telah mendiami kampung itu sejak 25 tahun lepas berkata air laut naik terlalu tinggi melepasi ban 5.2 meter yang dibina di sepanjang tepi laut sebagai penghadang.
“Awal pagi itu biasalah kami semua ada yang masih tidur...cuma terdengar bunyi air laju tapi bila keluar rumah tengok, air mengalir deras dan dalam lima minit saja air sudah penuh dan tinggi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
Bagi Ahmad Azhari Sooran, 45, pula berkata ini kejadian pertama paras air banjir naik melebihi paras lutut dan merosakkan pelbagai harta benda penduduk di kampung berkenaan.
Katanya, kebiasaan air pasang besar dijangka berlaku dalam tempoh tiga hari dan berikutan kejadian banjir semalam, penduduk kampung dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga esok.
“Masa air naik awal pagi semalam, kami tak bersedia...itu sebabnya banyak kelengkapan rumah tidak dapat diselamatkan...buku-buku sekolah anak-anak juga musnah.
“Sebab sebelum ini pernah juga air naik tapi tidak pula melebihi ban malah ban itu juga baharu saja ditambak pihak terlibat baru-baru ini...untuk esok kami semua dah kemas barang sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.
Penghulu kawasan Kapar, Yusri Abdullah ketika ditemui berkata dewan orang ramai di kampung berkenaan akan dibuka malam ini sebagai langkah awal sekiranya banjir teruk sehingga terpaksa memindahkan penduduk.
Katanya, dewan yang terletak di kawasan yang lebih tinggi itu mampu memuatkan sehingga 100 orang berikutan air pasang besar dijangka berlaku sekali lagi awal pagi esok.
“Kami buka dewan sebagai langkah berjaga-jaga namun tidak semua penduduk mesti berpindah...siapa rasa perlu boleh dapat perlindungan di sini sebab kebiasaannya banjir akan surut pada tengah hari,” katanya.
Sebanyak 13 kawasan di lima daerah di Selangor dilanda banjir akibat limpahan air laut berikutan fenomena air pasang besar, awal pagi semalam.
Bagaimanapun, banjir mulai surut menjelang tengah hari dan dijangka fenomena sama akan berlaku lagi awal pagi esok.
Sementara itu di Alor Setar, sebanyak 432 orang daripada 113 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan selepas rumah mereka dilanda banjir akibat fenomena air pasang di daerah Kuala Muda.
Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda Left Muda Pertahanan Awam Azahar Ahmad berkata tiga pusat pemindahan dibuka pada 3 petang semalam selepas Kampung Paya, Kampung Sungai Yu, Kampung Sungai Meriam, Kampung Padang Salim, Kampung Masjid dan Kampung Ujung Matang dinaiki air sedalam 2.9 meter.
Berikutan itu, seramai 267 orang daripada 78 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Seri Kuala, seramai 85 mangsa daripada 17 keluarga di Dewan Kampung Paya dan 80 orang daripada 18 keluarga di Surau Kampung Sungai Yu.
“Fenomena air pasang semakin lemah dan jika banjir surut, mangsa akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan