PUTRAJAYA: Kerajaan kini menetapkan semua agensi pelancongan yang ingin
mengendalikan pakej umrah diwajibkan memiliki lesen khas umrah bermula 1
Oktober tahun hadapan.
Menurut Timbalan Menteri Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk
Mas Ermieyati Samsudin, lesen berkenaan hanya dikeluarkan daripada
kementerian.
Katanya, tujuan pengenalan lesen khas tersebut adalah bertujuan untuk
memantau dan mengelak kes penipuan umrah berulang lagi pada masa akan
datang.
"Jika sebelum ini mana-mana syarikat yang menjalankan aktiviti
pengendalian ibadah ke umrah hanya perlu mendapatkan lesen perjalanan ke
luar negara (outbound) namun bermula Oktober tahun hadapan mereka perlu
mendapatkan kedua-dua lesen iaitu lesen outbound dan lesen khas umrah",
katanya.
Beliau berkata, antara prasyarat untuk memperoleh lesen tersebut adalah
para pengendali umrah perlu menjalani kursus pemantapan pengendali
umrah (KPPU) yang dianjurkan oleh kementerian selama dua hari.
"Kursus ini adalah wajib dan perlu dihadiri semua agensi pelancongan
yang ingin menawarkan perkhidmatan pakej umrah dan sehingga kini 60
syarikat telah menjalani kursus tersebut," katanya dalam sidang media di
kementeriannya di sini, hari ini.
Mereka yang gagal mendapatkan lesen bakal dikenakan tindakan denda
RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun termasuk berhadapan pembatalan
lesen pelancongan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 Seksyen 5(2),
katanya.
Menurut Mas Ermieyati, dianggarkan seramai 2,000 jemaah umrah telah
terperdaya dengan kegiatan pakej umrah murah pada tahun ini, namun
sehingga hari ini hanya satu aduan rasmi dibuat kepada kementeriannya.
Bagaimanapun aduan yang diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan daripada 2014 hingga Oktober tahun ini,
sebanyak 3,482 kes direkodkan dengan jumlah tuntutan dari pengguna
sebanyak RM21.28 juta, katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa hanya syarikat berbentuk Sdn Bhd yang
dibenarkan menjalankan aktiviti pelancongan termasuk pakej ke umrah.
"Organisasi yang berbentuk koperasi dan yayasan tidak dibenarkan untuk
melakukan aktiviti pelancongan kecuali dengan menubuhkan anak syarikat
berstatus Sdn Bhd dan mempunyai lesen daripada kementerian," katanya,
sambil menambah kementerian tidak mengiktiraf penggunaan wakil syarikat
dan ejen agensi pelancongan selain kakitangan mereka sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan