SHAH ALAM: Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan
parti itu telah menyerahkan surat tuntutan kepada editor Sarawak Report,
Clare Rewcastle Brown pada 13 Disember lalu secara rasmi.
Surat berkenaan dihantar kepada Brown menerusi alamat beliau di London, United Kingdom.
Notis tuntutan "Letter of Claim Pursuant to the Pre-Action Protocol for
Defarmation" itu berkuat kuasa selama tujuh hari bermula dari tarikh
surat pada 13 Disember 2016.
"Notis berkenaan turut menyenaraikan tiga perkara tuntutan yang harus
diambil tindakan oleh portal berita terbabit," jelas Takiyuddin, memetik
laporan Harakah Daily.
Tiga tuntutan tersebut kata Takiyuddin ialah - Sarawak Report membuang
artikel itu daripada laman web Sarawak Report, mahu Sarawak Report
siarkan satu permohonan maaf (apology) atau penarikan segala tuduhan
mengikut terma yang akan dipersetujui oleh PAS, dan menuntut Sarawak
Report memberi akujanji (undertaking) tidak akan menyiarkan dakwaan
palsu pada masa akan datang.
Tambah beliau, dua pihak akan mengemukakan saman kepada portal tersebut
iaitu parti PAS dan Presidennya, Datuk Seri Guru Abdul Hadi Awang.
Portal Sarawak Report sebelum ini melaporkan PAS menerima RM90 juta
daripada Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.
Dalam laporan itu, Sarawak Report mendakwa Najib cuba mengambil peluang
perselisihan dalam kalangan pembangkang dengan mengambil hati pemimpin
atasan PAS.
"Beliau cuba menjauhkan parti Islam PAS daripada pakatan pembangkang
dengan cara biasa beliau – RM90 juta dipercayai mengalir masuk ke dalam
pimpinan tertinggi PAS sejak beberapa bulan ini (veteran BN akan
menganggap ia harga yang murah)," kata laporan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan