KANGAR: Jabatan Mufti Negeri Perlis memandang serius persepsi dan
kerisauan dalam kalangan orang bukan Islam mengenai hak hadanah atau
penjagaan anak dan keizinan pendaftaran agama Islam bagi anak daripada
ibu bapa berlainan agama.
Muftinya Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata bagi menjawab
kekeliruan berkaitan isu tersebut, intipati Fatwa Negeri Perlis
berhubung hak berkenaan bagi anak di bawah umur 18 tahun yang
dikeluarkan pada 2015 akan dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)
akan datang untuk diwartakan.
Katanya, usul itu nanti memberi perhatian tentang pasangan suami isteri
yang seorang daripada mereka beragama Islam tidak boleh memaksa anak
mereka memeluk Islam tanpa kerelaan anaknya itu selepas berlaku
perceraian.
"Di Perlis, suami isteri (bukan Islam) yang bercerai dan seorang
daripada mereka tidak memeluk Islam, maka hak hadanah anak dan penetapan
agama tidak dinilai sebagai perkara utama mengikut agama ibu atau bapa.
"Soal kemaslahatan anak tersebut menjadi perkara utama dan mesti tiada
unsur paksaan dalam menentukan agama anak-anak berkenaan, di mana jika
ibunya bukan Islam tetapi lebih berkemampuan serta dapat menjamin dari
sudut perkembangan moral, emosi, serta keperluan anak itu, maka ibunya
lebih layak walaupun bapanya seorang Islam," katanya dalam sidang media
di Kangar semalam.
Mohd Asri berkata Fatwa Negeri Perlis mengenai hak hadanah ibu bapa
berlainan agama sudah diluluskan serta mendapat perkenan Raja Perlis
Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail cuma ia belum diwartakan.
Beliau berkata usul berkaitan fatwa itu nanti akan dibacakan
bersama-sama Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis
(Pindaan) 2016 pada sidang DUN seterusnya.
"Kita tidak mahu berlaku kekeliruan dan manipulasi ibu atau bapa yang
mendaftar anak mereka sebagai Islam tanpa kerelaan anak terbabit kerana
itu dianggap paksaan dan unsur paksaan tiada dalam Islam.
"Jika anaknya berusia tiga tahun serta masih belum memahami apa-apa,
mustahil untuk ada kerelaan dari anak itu dalam memeluk Islam," katanya.
Katanya anak terbabit perlu menunggu usianya menjangkau 18 tahun untuk
memilih agama Islam tanpa perlu meminta keizinan sesiapa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan