Oleh Ahmad Lutfi Othman
Dalam
tempoh yang lama, pemimpin Umno Johor mungkin boleh berbangga dengan
kekuatan pengaruh dan sokongan yang diterima parti kelahiran negeri
itu.
Walaupun tidak sedikit pergolakan dalaman meletus selama
ini, ia tidak begitu menjejaskan prestasi Umno-BN Johor dalam pilihan
raya.
Johor dianggap tiang seri Umno. Sukar pembangkang
bertapak. Mohamad Sabu semasa memimpin Pas dahulu pernah berseloroh:
"Kalau calon Pas di Johor tidak hilang deposit, sudah cukup baik.
Apatah lagi jika menang satu kerusi, boleh buat kenduri besar-besaran."
Kemenangan gemilang Shahrir Samad, dengan majoriti hampir 13,000
undi, sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil (PRK), Ogos 1988,
membuka mata banyak pihak.
Ketika itu, Umno berpecah teruk,
terbahagi dua, Team A dan Team B. Musa Hitam, tokoh popular dari Johor,
bekas timbalan perdana menteri, orang no 2 Team B.
Momentum terhalang
Bagaimanapun
momentum Johor Bahru terhalang apabila dua bulan kemudian, dalam satu
lagi PRK, calon BN menang tipis- majoriti 413- di kerusi Dun Parit
Raja.
Maka selamatlah Umno daripada gelora kebangkitan rakyat
Johor. Sementalahan pula calon S46 juga tewas dalam siri PRK
seterusnya, Parlimen Ampang Jaya, Selangor (Januari 1989) dan Dun
Tambatan, Johor (Ogos 1989).
Agak menarik, dalam Pilihan Raya
Umum 1990, meskipun Parti Melayu Semangat 46 kurang mendapat sambutan
di negeri-negeri lain, kecuali Kelantan, pencapaiannya di Johor
tidaklah mengecewakan. Peratusan undi calon-calonnya tidak boleh
diremehkan. Walaupun tanpa Musa dan Shahrir dalam S46, seorang
calonnya, Cikgu Kahar Ahmad menang di Dun Parit Bakar.
Namun
begitu, semasa laungan Reformasi bergemuruh pada 1998, diikuti PRU1999
yang menyaksikan protes terbuka orang Melayu terhadap kes pemecatan
Anwar Ibrahim, tempiasnya seperti tidak menjejaskan Johor.
Dalam
sesi wawancara dengan Shahrir di pejabatnya, Sri Hartamas, sekitar
tahun 2000 saya bertanyakan pandangannya mengenai keputusan pilihan
raya umum itu.
Beliau menyimpulkan, itulah kekuatan Umno Johor,
dapat mengawal kesetiaan pengundi walaupun negara berdepan isu Anwar
yang dahsyat.
Kini, sebenarnya bermula 2013, Umno Johor sudah
terkeluar daripada zon selesa. Buat pertama kali Pas menang 4 kerusi
Dun. Ia mengingatkan kata-kata Almarhum Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat,
yang diungkapkan kembali oleh Mazlan Aliman, Presiden Anak, yang juga
Naib Pengerusi Amanah Johor.
Kubur Umno
"Ketika
saya menjadi Ketua Pemuda Pas Johor, Tok Guru Nik Aziz berceramah di
Benut dan kerana kedatangan hadirin tidak ramai saya memberitahunya
Johor ini kubu Umno. Tok Guru berbisik kepada saya, sekarang memang
kubu Umno, insya-Allah akan datang Johor akan jadi kubur Umno," cerita
Mazlan dalam majlis ceramah di Ketereh, Kelantan, awal Mac 2017.
Mungkin
secara kebetulan, pertemuan bekas pimpinan tertinggi Pas yang
tersingkir dalam muktamar 2015 juga diadakan di Bakri, Muar, yang
mencetuskan idea penubuhan parti baru, Parti Amanah Negara. Bumi Johor
itu juga menyaksikan peralihan besar-besaran barisan pemimpin Pas negeri
menyertai Amanah.
Apabila Adun Jorak, Johor, Shahrudin Salleh
meninggalkan Umno, akhir 2016, BN hilang majoriti dua pertiga. Beliau
dilantik Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Presidennya,
Muhyiddin Yassin juga tokoh berpengaruh di negeri itu. Benteng Umno
Johor makin dirobek.
Johor mungkin diambil alih Pakatan Harapan,
lebih awal ketimbang negeri-negeri lain di hujung Semenanjung.
Sementara pengundi Cina sudah menunjukkan sokongan optimum dalam PRU13,
yang memenangkan semua calon Dun DAP kecuali seorang, masyarakat
Melayu termasuk di kampung tradisional dan penempatan Felda nampak
makin mesra dengan oposisi.
Serangan hendap
Secara
tiba-tiba, bagaikan diasak serangan hendap. deretan isu-isu rakyat dan
salahguna kuasa pemerintahan Khaled Nordin terburai.
Sekurang-kurangnya,
dua pimpinan utama Amanah, Salahuddin Ayub sebagai timbalan presiden
parti dan Dzulkefy Ahmad, timbalan pengerusi negeri- di samping
Aminolhuda Hassan, ketua negeri dan Adun tunggal Amanah - memberikan
respons proaktif, hampir setiap hari, mengulas secara terperinci dan
berfakta kes-kes korupsi yang mencolok mata itu.
Dalam satu
pertemuan khas, Dzulkefly yang berpengalaman luas dalam bidang hartanah
menjelaskan tujuh isu utama rakyat Johor. Pertama, isu rasuah hartanah
yang melibatkan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta anak dan
pegawai khasnya.
Kedua, isu penahanan Ketua Pemuda Umno Gelang
Patah yang juga Ahli Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) oleh
SPRM. Kes penipuan dan rasuah surat tawaran Rumah Mampu Milik Johor
(RMMJ).
Lambakan pekerja asing
Ketiga,
isu lambakan pekerja asing sehingga warga tempatan sukar mendapat
kerja. Keempat, isu bekalan air bersih dan pencemaran sungai dgn
aktiviti korek pasir dan kawasan tadahan air di sekitar empangan tidak
diwartakan dan digunakan sebagai aktiviti dan pertanian yang akhirnya
menyumbang kepada pencemaran sungai. Termasuk kilang yang melepaskan
sisa buangan terus ke sungai.
"Masalah pengangkutan terutama
melibatkan kesesakan di causeway dan jambatan kedua ke Singapura juga
isu besar," tambah Dzulkefly.
Selain itu, isu perumahan khususnya
RMMJ yang dahulu dikenali sebagai kuota kos rendah yang berharga
RM42.000, RM80,000 dan RM150,000. Sehingga kini yang mendaftar secara
online untuk dapatkan rumah RMMJ seramai 106,649 tetapi kerajaan negeri
hanya dapat menyediakan 60,000 unit menjelang 2020.
"Juga
pemilikan hartanah kediaman oleh warga asing diberikan status freehold
seperti di Forest City," ujarnya. Bekas perdana menteri, Dr Mahathir
Mohamad sendiri memfokuskan isu Forest City dalam siri kempennya untuk
menjatuhkan PM Najib Razak. Beliau turut turun padang dan bergambar di
sana untuk menunjukkan bukti mengenai dakwaannya berkaitan pemilikan
kekal hartanah oleh warga asing.
Dzulkefly turut membangkitkan
isu Biasiswa Bangsa Johor. "Yayasan Pelajaran Johor pernah menyediakan
biasiswa untuk anak Johor belajar di IPTA. Sekarang hanyalah pinjaman.
Dengan rezab tunai kerajaan Johor mencecah RM3.43 bilion, biasiswa
sepatutnya diwujudkan semula," katanya.
Diminta penjelasan lanjut
isu-isu kontroversi mengenai hartanah, Dzulkefly yang juga bekas
Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor itu menghuraikan kes penipuan dalam
pengurangan bayaran premium bagi tanah yang ditukar syarat daripada
pertanian kepada kediaman atau industri. Juga penipuan penukaran status
lot Bumiputera kepada bukan Bumi.
Isu Forest City
"Dalam
Forest City dikurniakan freehold kepada warga asing khususnya rakyat
negara China. Penipuan juga dalam tawaran RMMJ. Rumah tidak sampai
kepada golongan sasaran B40 dan M40. Seterusnya, harga rumah terlalu
mahal sehingga rakyat tempatan tak mampu beli. Dan kelonggaran kepada
pemaju dimanipulasi pihak tertentu untuk dapatkan rasuah," hurainya
lagi.
Mengenai sambutan pengundi Melayu terhadap Pakatan Harapan,
Dzulkefly percaya pengaruh Bersatu dapat memberi impak besar, selain
gerak kerja proaktif dan berterusan Amanah.
"Jumlah ahli Bersatu
di setiap kawasan Parlimen sekitar 1,000 hingga 2,000 orang dan
majoritinya adalah ahli Umno. Program Bersatu dapat tarik crowd Melayu
hatta di kawasan Felda terutama bila Tun Dr Mahathir, Mukhriz dan Tan
Sri Muhyiddin hadir," katanya.
Sementara pemimpin Amanah lebih
mengambil pendekatan berhemah dan menitik-beratkan kebajikan rakyat,
terutama pengundi Melayu luarbandar. Antara pendeklatannya, banyakkan
dialog santai di kedai makan dengan pimpinan Amanah Johor.
"Kita
menamakan pengundi yang ada penyakit kritikal secara percuma dalam
Skim Khairat Prihatin Johor (SKPJ). Jika mati waris dapat RM1,000. Juga
diwujudkan Kedai Peduli kepada golongan berpendapatan rendah dengan
beri barangan keperluan harian secara percuma," tambah Dzulkefly.
(dari kiri) Onn Jaafar dan Mohd Azam MektarTurun akar umbi
Pengarah
Komunikasi Amanah Negeri, Onn Jaafar pula menekankan keperluan
mendekati masyarakat Melayu dan NGO Melayu secara bijaksana. Pertemuan
dengan tokoh-tokoh Melayu Johor diatur.
"Kita mesti turun ke akar
umbi, hayati dan rasai sendiri masalah kehidupan seharian rakyat yang
kian tertekan hari ini. Banyak problem rakyat diketahui hasil aktiviti
turun padang ini. Kita akan teruskan program ini," jelas Onn.
Manakala
Naib Ketua Pemuda Amanah Johor, Mohd Azam Mektar menjangkakan pada
PRU14 rakyat Johor akan membuat kejutan. "Saya dapat bayangkan, di
malam keputusan PRU 14 diumumkan, satu persatu keputusan kerusi akan
dinantikan penuh debar oleh seluruh rakyat Johor. Gelombang perubahan
PRU14 akan bermula dari Selatan," kata Azam. Tapi beliau mengingatkan
semua parti pembangkang agar jangan rasa selesa.
"Di saat
rata-rata anak muda yang kami temui menyatakan rasa tidak sabar untuk
keluar mengundi pada PRU14, kesepaduan, kesepakatan, kerjasama, tolak
ansur sesama parti pembangkang harus dipertingkat dan diperkemaskan.
Jika tidak, pembangkang akan berputih mata, di saat memiliki peluang
terbaik dalam sejarah Johor," ujar Azam, yang juga Pengarah Biro
Pilihan Raya Pemuda Amanah Johor.
Peluang anak muda
Beliau
juga mencadangkan agar Amanah memberi laluan mudah kepada anak muda
yang berkebolehan untuk menyumbang. "Usah dipersulitkan dengan pelbagai
birokrasi. Tenaga muda berbakat walaupun masih baru dalam parti, beru
ruang dan peluang untuk maju ke depan. Jangan berkira sangat soal tua
atau muda, baru atau lama, tengok macamana DAP meraikan orang baru yang
berketrampilan," syor Azam.
Sementara Ketua Wanita Muda Amanah,
Anis Afida Mohd Azli bersyukur kerana kewujudan Amanah dan perjuangan
parti baru itu sudah mula difahami rakyat, termasuk wanita muda.
"Kempen
perlu dipergiat untuk kenalkan Amanah. Sebabnya, bila dikhususkan
kepada sokongan terhadap parti ia masih bersifat fragile. Walaupun
orang marah dengan kepincangan kerajaan BN, untuk diterjemahkan kepada
kertas undi masih tidak dapat dipastikan," terangnya lagi.
Ditanya
cabaran utama buat Wanita Muda Amanah, Anis menjelaskan, kita berdepan
pengundi wanita muda dari sudut mendapatkan kepercayaan dan keyakinan
mereka akan kemampuan Amanah untuk membela mereka.
Anis
Afida Mohd Azli"Sifat seorang wanita terutama Melayu terikat dalam
membuat keputusan. Semasa muda terikat dengan keputusan ibu bapa dan
selepas berumah tangga terikat dengan suami. Amat sedikit wanita yang
berdiri tegak atas prinsip dan kepercayaan terutama dalam pendirian
politik. Mereka lebih cenderung untuk melihat pendirian politik ibu
bapa dan suami," jelas Anis.
Syor beliau, diperkasakan medium
penerangan alternatif terhadap isu rakyat, khususnya melalui media
sosial secara maksimum oleh parti untuk menyampaikan maklumat dan
membuat pencerahan kepada pengundi.
Justeru, Amanah Johor telah
menubuhkan Media Amanah Johor (MAJ) yang diketuai oleh Suhaizan Kayat,
Naib Pengerusi Amanah negeri dibantu wartawannya secara sepenuh masa
dan berbayar. Antara programnya yang menonjol adalah LIVE BONGKAR, yang
disiarkan secara langsung melalui internet. Antara tema yang pernah
dibincangkan adalah "pengkhianat hartanah Johor" dan "Rasuah: Najib
lawan Khaled".
Dinamika politik Johor
Sesungguhnya
dinamika politik Johor mutakhir ini memang memikat. Ada penganalisis
menjangkakan, kalaupun Pakatan Harapan belum dapat menguasai Putrajaya
dalam PRU14, tidak mustahil ia dapat mentadbir Nusajaya, pusat
pentadbiran kerajaan Johor.
"Kalau tahun lepas ada ura-ura
pilihan negeri Johor diadakan berasingan daripada pusat untuk elak kes
rasuah mega Najib Razak pengaruhi pengundi, sekarang isu korupsi
pemerintahan Khaled Nordun pun sudah cukup untuk menjatuhkan BN Johor,"
kata penganalisis itu.
Akhbar The Star melaporkan bahawa
majoriti wakil rakyat Umno Johor menyatakan sokongan untuk pilihan raya
negeri yang berasingan dalam satu komunikasi kumpulan dalaman parti
itu. Sokongan itu berpunca daripada kebimbangan akan diseret dengan
skandal memalukan Najib yang semakin didedahkan badan-badan
antarabangsa serta bagi mencegah pengaruh Muhyiddin di negeri itu.
"Saya
kira personaliti Salahuddin Ayub, Timbalan Presiden Amanah, cukup
sesuai dengan watak bangsa Johor, yang tidak gemar dengan pendekatan
kasar dan mahu melihat hasil berbanding retorika politik. dia aset yang
baik untuk Amanah Johor," tambah penganalisis berkenaan.
Rundingan kerusi
Ditanya soal pembahagian kerusi, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly menjelaskan ia masih dalam rundingan.
"Kerusi
Dun Pas dalam PRU13 ada 30, DAP 14 dan PKR 12. Secara purata kalau 56
kerusi dibahagi kepada empat parti maka setiap parti dapat 14 kerusi.
Maknanya PKR dan DAP tidak akan memberi kerusi kepada Bersatu. Jadi
Amanah perlu melepaskan beberapa kerusi kepada Bersatu. Kemungkinan
Amanah akan bertanding kurang daripada 20 kerusi Dun," ujarnya.
"Bagi
kerusi Parlimen, andaian awal Amanah diperuntukkan semua kerusi Pas,
lapan, DAP enam dan PKR 12. Semua 26 kerusi jika dibahagi empat parti,
lebih kurang tujuh kerusi setiap parti. Diharapkan KeADILan dapat
berikan beberapa kerusi kepada Bersatu. Dan Amanah confirm perlu
lepaskan Parlimen Pagoh kepada Bersatu," tambah Dzulkefly.
Mengenali
tiga ketua komponen Pakatan Harapan Johor, iaitu Aminolhuda Hassan
(Amanah), Liew Chin Tong (DAP) dan Hassan Karim (PKR), saya yakin
proses agihan kerusi akan berjalan lancar. Ketiga-tiga mereka
berpandangan jauh, berfikiran terbuka dan meletakkan kepentingan rakyat
sebagai agenda utama.
Penyertaan Bersatu juga memberi nilai tambah yang
cukup positif, terutama di kawasan majoriti pengundi Melayu.
Saya
juga tertarik dengan ucapan Chin Tong semasa konvensyen bersama
peringkat kawasan Kulai, yang disertai oleh semua empat parti dalam
Pakatan Harapan, pada 25 Februari lalu.
Beliau yang juga ahli
Parlimen Kulai menegaskan: "Untuk menghadapi PRU14, gabungan politik
Pakatan Harapan + Bersatu memerlukan dasar-dasar kebangsaan serta
negeri yang benar-benar memahami dan akur tentang kehidupan serta
keperluan pengundi kawasan separa bandar dan luar bandar.
Oleh
itu, dasar bersama yang kita akan gubal nanti perlu lebih mendalam,
meyakinkan dan benar-benar memahami keadaan serta aspirasi rakyat."