ANTARAPOS.COM
IPOH: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd
Kadir menangkis desas-desus kononnya bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk
Seri Ahmad Husni Hanadzlah bakal bertanding sebagai calon Bebas pada
pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Menegaskan ia hanyalah spekulasi semata-mata, Menteri Besar Perak itu
berkata isu berkenaan sengaja dibangkitkan pembangkang bertujuan untuk
mengambil kesempatan di atas kedudukan Ahmad Husni yang tidak lagi
memegang sebarang jawatan dalam kerajaan dan parti.
"Saya anggap golongan (pembangkang) cuba menangguk di air yang keruh
dengan sengaja mengada-adakan cerita seperti itu...biasalah pembangkang.
"Tetapi, mengenali Datuk Seri Husni, ia tidak datang daripada mulut
sumber, saya menganggap isu ini hanya spekulasi kerana saya tidak fikir
dia akan berbuat demikian," katanya.
Zambry berkata kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan anggota jawatankuasa Umno Bahagian Tambun di sini hari ini.
Ahmad Husni, yang juga Ahli Parlimen Tambun meletak jawatan sebagai
Menteri Kewangan Kedua pada 27 Jun tahun lalu sebelum Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan rombakan Kabinet.
Selepas itu, beliau juga meletakkan kesemua jawatannya dalam Umno di
peringkat pusat, negeri dan bahagian dan hanya kekal sebagai Anggota
Parlimen kawasan Tambun.
Jawatan Ketua Umno Bahagian Tambun kini dipangku oleh timbalannya Datuk Aminuddin Md Hanafiah yang juga ADUN Hulu Kinta.
Dalam pada itu, Zambry yakin kerusi Parlimen Tambun terus kekal milik
Barisan Nasional (BN) berdasarkan gerak kerja yang tersusun dan
perpaduan kukuh di peringkat bahagian.
"Secara keseluruhannya, tidak ada masalah besar melibatkan Umno
Bahagian Tambun dan saya difahamkan hubungan mereka dengan Anggota
Parlimen itu juga berjalan seperti biasa dan tidak ada masalah.
"Saya yakin dengan kesepaduan yang ditunjukkan oleh anggota parti,
kerusi Parlimen Tambun akan terus kekal menjadi milik BN dalam pilihan
raya akan datang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan