HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Mac 2017

Akta bolehkan sumbangan politik tanpa had untungkan BN

MALAYSIA DATELINE

Membenarkan sumbangan politik tanpa had lebih menguntungkan BN.Membenarkan sumbangan politik tanpa had lebih menguntungkan BN.

Cadangan Jawatankuasa Konsultatif Nasional (JKN) yang mahu menghapuskan had perbelanjaan dan sumbangan politik dalam Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik lebih menguntungkan BN.

Langkah ini jika terlaksana akan memberi kelebihan kepada BN dalam gelanggang politik yang sudah sedia tidak adil, kata Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming.

Dr. Ong dan beberapa wakil DAP sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan bagi membincangkan mengenai cadangan JKN berhubung akta itu di Parlimen semalam.

Bagaimanapun, menurut Dr. Ong, terdapat beberapa cadangan JKN yang diterima baik oleh DAP antaranya mewujudkan pejabat pengawal sumbangan dan perbelanjaan politik; menyediakan peruntukan kewangan untuk menyokong operasi pejabat pusat khidmat Ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
Pihaknya juga menyokong cadangan menghalang syarikat-syarikat yang menerima kontrak atau konsesi kerajaan daripada membuat sumbangan politik.
Di masa yang sama, para penyumbang politik ujarnya tidak harus dikenakan tindakan diskriminasi hanya kerana sumbangan politik dan mekanisme tertentu harus diperkenalkan untuk melindungi penyumbang dari diskriminasi.

Dr. Ong turut menekankan bahawa dana pembangunan kawasan yang ketika ini tidak diberikan kepada anggota Parlimen pembangkang perlulah dimasukkan dalam peruntukan negeri.

“Kami juga mengambil perhatian bahawa perincian lebih mengenai apa yang akan dilakukan dalam pelaksanaan cadangan akta itu belum lagi dimuktamadkan dan masih lagi dalam proses untuk diselesaikan oleh jawatankuasa teknikal,” katanya.

Beliau turut melahirkan penghargaan terhadap kesudian menteri untuk memaklumkan dari semasa ke semasa mengenai perkembangan akta tersebut.

“Kami akan menunggu butiran lengkap mengenai cadangan rang undang-undang tersebut sebelum membuat keputusan untuk menyokongnya atau tidak,” katanya.

Pertemuan itu turut dihadiri Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke, Teresa Kok (Seputeh), Chong Chien Jen (Bandar Kuching), Julian Tan (Stampin), Oscar Ling (Sibu), Ng Wei Aik  (Tanjong), dan Jeff Ooi (Jelutong).

Tiada ulasan: