HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Mac 2017

PAS jangan pandang ringan usul putus hubungan dengan PKR

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Penganalisis politik berpandangan PAS Pusat tidak boleh memandang ringan usul demi usul yang diluluskan PAS peringkat kawasan untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.
 
Malah, penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Shamsul Adabi Mamat turut mempersoalkan bagaimana PAS akan 'menaiki' kapal yang sama dengan DAP dan Amanah, jika tetap meneruskan hubungan dengan parti pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu.
 
"Pembinaan hubungan antara PAS-PKR ni tidak sepatutnya ada lagi, kerana mana mungkin PAS boleh putus dengan DAP tapi tidak putus dengan PKR. 
 
"Kalau diibaratkan kapal, PKR itu satu kapal dengan DAP dan Amanah jadi bagaimana PAS boleh berada dalam kapal itu sedangkan sudah putus dengan DAP dan Amanah?," soal beliau ketika dihubungi Antarapos.
 
Justeru Shamsul berkata usul putus hubungan itu mungkin akan disokong kebanyakan perwakilan pada Mukatamar PAS yang dijadualkan diadakan pada April depan.
 
Beliau turut menambah, nama baik PAS akan terjejas jika parti itu memilih untuk meneruskan tahaluf siyasi dengan PKR.
 
"Mereka harus memutuskan hubungan itu kerana bukanlah satu imej yang bagus kepada PAS untuk bersama PKR tetapi tidak bersama DAP dan Amanah," ujarnya.
 
Pun begitu, Shamsul tidak menolak, hubungan antara PAS-PKR hanya boleh terjalin di Selangor ekoran hubungan yang baik dalam pentadbiran kerajaan negeri itu.
 
"Sudah tentu ada kemungkinan kerana politik itu sendiri sebenarnya tidak ada dalam politik kawan atau musuh yang kekal tetapi (untuk) kepentingan politik (ada). 
 
"Jadi selama PAS ada kepentingan dalam kerajaan Selangor, mereka boleh meneruskan untuk tidak memutuskan (hubungan) jadi akan tetap ada (hubungan). Cuma untuk yang lebih jelas jadi muktamar tu perlu meletakkan sejauh mana hubungan yang hendak diputuskan itu," katanya lagi.
 
Semalam empat lagi kawasan PAS di Terengganu mengumumkan memutuskan hubungan dengan PKR, iaitu Marang, Dungun, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
 
Perkembangan itu menjadikan 14 usul putus hubungan dengan PKR setakat ini.
 
Sebelum ini Tumpat, Nibong Tebal; Permatang Pauh; Bayan Baru, Bukit Bendera, Balik Pulau; Jelutong; Kepala Batas; Tasek Gelugor, dan kawasan PAS Bukit Mertajam turut mengambil tindakan sama.
 
Kesemua PAS peringkat kawasan itu menganggap PKR tidak sensitif berada sepentas dengan seteru politik mereka DAP dan Amanah, menyerang kepimpinan partinya.
 
 

Tiada ulasan: