HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Mac 2017

Ada SOP pun tak guna kalau orang tak ikut’

 

Kerajaan digesa mewujudkan sistem membantu SPRM mengesan salah laku rasuah dalam kalangan penjawat awam


Tunku-Abdul-Aziz-Tunku-Ibrahim


KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewujudkan satu sistem yang efisien bagi membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan salah laku rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata sistem itu perlu dipantau oleh pegawai-pegawai yang berintegriti.

“Kena ‘monitor’ dan pastikan orang ikut sistem itu…ada tatacara operasi standard (SOP) pun tak guna kalau orang tak ikut.

“Apa yang penting adalah memastikan adanya sistem yang betul dan memastikan sistem itu berjalan lancar. Dalam erti kata lain, sistem yang praktikal,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat LPPR di sini, hari ini.

Turut hadir anggota panel LPPR termasuk Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang, bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan dan bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah.

Sementara itu, Musa berkata semua ketua jabatan perlu bekerjasama dengan SPRM bagi memastikan imej penjawat awam sentiasa bersih dan terpelihara daripada gejala rasuah.

Dalam pada itu, Mohd Noor mencadangkan hakim-hakim di negara ini supaya mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah rasuah kali pertama.

“Sesiapa yang didapati bersalah untuk kesalahan pertama kali, perlu dikenakan tindakan hukuman lebih berat (penjara) dahulu bukannya didenda,” katanya.

Tiada ulasan: