HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Mac 2017

PKR: Perbandingan ‘biawak’ Hadi tak cantik, imej ulama tercalar

 
Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR menghormati apa sahaja pendirian politik PAS, tetapi perbandingan 'biawak' Hadi itu tidak sesuai dengan status sebagai naib presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia.


bung-saifuddin


PETALING JAYA: Pemimpin PKR dan Umno hari ini menyifatkan analogi “biawak” yang diberikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sebagai keterlaluan dan menjejaskan kewibawaannya sebagai seorang agamawan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR menghormati apa sahaja pendirian politik PAS, tetapi perbandingan “biawak” Hadi itu tidak sesuai dengan status sebagai naib presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia.

“Pada masa sama, semolek-moleknya seorang agamawan sudah tentu akan lebih cermat dalam membuat sesuatu perbandingan untuk tidak menimbulkan salah tafsir dalam memberikan sesuatu pandangan politik.

“Sebab agamawan, ulama ini bahasa dia bahasa yang sangat indah, bahasa dia bahasa penyejuk, pendamai dan menenangkan bagi orang yang keluh-kesah, memberontak,” katanya kepada FMT hari ini.

Saifuddin berkata, perbandingan presiden PAS itu juga akan mengundang pelbagai pandangan “tidak cantik” terhadap kewibawaannya sebagai seorang ulama.

Semalam, Hadi dilaporkan berkata, parti Islam itu tidak akan menyertai PH mahupun BN, sekali gus memberi gambaran ia akan mengambil pendekatan bersendirian dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ahli Parlimen Marang turut memberi analogi “menyertai BN laksana memikul biawak hidup” manakala “menyertai Pakatan Harapan biawaknya lebih besar dan penyakitnya lebih parah”.

Mengulas isu sama, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Moktar Radin berkata, dari awal lagi beliau tahu PAS dan BN tidak boleh bersatu untuk meneruskan perjuangan politik bersama.

“Tetapi menyifatkan bekerjasama dengan BN sebagai memikul biawak hidup adalah satu kenyataan keterlaluan.

“Pada saya, BN akan memainkan peranan lebih berkesan dan terus memikul tanggungjawab membela rakyat. Tanpa kerjasama sekalipun, BN pasti dapat mengharungi pilihan raya umum akan datang dengan kekuatan sedia ada.

“Saya yakin kerana BN sudah menempuh pelbagai cabaran pada masa lampau,” katanya.

Tiada ulasan: