HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Mac 2017

USIM usahakan pengiktirafan ijazah undang-undangnya

Senduksiku Keluang
 
 
Segala syor yang ditetapkan LPKU dipenuhi dan keputusan penilaian akan diketahui dalam tempoh tujuh bulan dari sekarang.

NILAI: Tafsiran pelbagai pihak bahawa Sarjana Muda Undang-undang di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tidak mendapat pengiktirafan adalah tidak tepat.

Demikian tegas Timbalan Naib Canselor USIM, Prof Dr Zulkiple Abd Ghani bagi mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Dr Mary Yap Kai Ching, hari ini.

Zulkiple berkata, USIM mendapat pengiktirafan sementara daripada Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang (LPKU) pada 5 Mei 2015 sehingga penilaian semula dibuat oleh badan itu.

Katanya, penilaian semula itu dibuat pada 6 hingga 8 Mac lalu terhadap segala kriteria yang ditetapkan untuk mendapatkan pengiktirafan penuh daripada LPKU.

“Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM selaku fakulti termuda dalam negara yang menawarkan program undang-undang ini mengambil tanggungjawab melaksanakan segala tindakan yang bersesuaian bagi memenuhi syor-syor yang diberikan oleh LPKU sebelum dan semasa penilaian ini dibuat.

“Keputusan penilaian oleh LPKU dijangka akan diketahui dalam tempoh tujuh bulan dari tarikh penilaian ini dibuat,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Hari ini, Kai Ching dalam Dewan Rakyat memberitahu, Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang yang ditawarkan USIM ketika ini hanya diberi pengiktirafan sementara di negara ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi itu dilapor sebagai berkata, pengiktirafan sepenuhnya akan diberi apabila USIM memenuhi kriteria dan syarat ditetapkan LKPU Malaysia.

Mengulas lanjut, Zulkiple berkata, antara usaha awal dibuat USIM sebelum ini ialah, menukarkan nama program daripada Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang ke Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah.

Katanya, pertukaran nama program diluluskan Kementerian Pendidikan Tinggi, berkuatkuasa 13 Disember tahun lalu.

Tiada ulasan: