Empat pegawai polis memasuki Kedutaan Korea Utara di
Jalan Batai pagi tadi dan hanya meninggalkan bangunan berkenaan lebih 2
jam kemudian.
PETALING JAYA: Empat pegawai polis buat julung kalinya dibenarkan memasuki Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur untuk mengambil keterangan 3 suspek Korea Utara berhubung kes pembunuhan Kim Jong Nam.
China Press melaporkan 4 pegawai itu terdiri daripada pegawai penyiasat kes pembunuhan Jong Nam, ketua bahagian undang-undang jenayah polis Selangor dan pegawai dari unit pendakwaan polis Selangor.
Menurut laporan itu, mereka berempat memasuki kedutaan itu yang terletak Jalan Batai, Bukit Damansara pagi tadi dan hanya meninggalkan bangunan berkenaan lebih 2 jam kemudian.
Khamis lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata, polis tahu 3 lelaki Korea Utara yang dikehendaki sedang bersembunyi di dalam Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur.
Pekerja Air Koryo, Kim Uk Il, 37; Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur, Hyon Kwang Song, 44; dan Ri Ji U, 30, yang juga dikenali sebagai James antara 8 lelaki Korea Utara dikehendaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan Jong Nam.
Satu-satunya suspek Korea Utara, Ri Jong Chol yang direman pada 18 Februari lalu, dibebaskan kerana kekurangan bukti dan diusir dari negara ini pada 3 Mac lalu.
Empat lagi suspek lain dikatakan melarikan diri dari Malaysia pada hari kejadian dan kembali ke Pyongyang ialah Ri Ji Hyon, 33, Hong Song Hac, 34, O Jong Gil, 55, dan Ri Jae Nam, 57.
Abang sebapa kepada diktator Korea Utara, Kim Jong Un, itu didakwa dibunuh 2 wanita asing yang menyapu mukanya dengan agen saraf VX, ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 untuk menunggu pesawat ke Macau, pada 13 Februari lalu.
Dua wanita warga asing – Siti Aisyah, 25, dari Indonesia dan Doan Thi Huong, 29, dari Vietnam didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 1 Mac lalu atas pertuduhan membunuh Jong Nam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan