HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Mac 2017

RUU355: Apa jadi pada 'rakan baru' Umno?

Hambali Abdul Latiff  

Status usul untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Dewan Rakyat kini kembali kabur.

Hasrat PAS untuk merealisasikan cita-citanya menjadikan Akta 355 sebagai pencapaian penting dalam perjuangan dan pencapaian politik semasanya, kini terumbang-ambing.

Sudah terang lagi bersuluh. Kini kerajaaan tidak akan mengambil alih pembentangan RUU355 itu.

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang sebelum ini mengesahkan perdana menteri membuat keputusan untuk membentangkan sendiri cadangan pindaan Akta 355 itu pada sidang kali ini, nampak seperti sekadar penyedap mulut.

Malah, Ahmad Zahid kini terperangkap dengan keputusan Dewan Tertinggi BN semalam yang membincang akta itu serta memutuskan bahawa kerajaan tidak akan membentangkan RUU355 selaras dengan dasar dan amalan konsensus.

Justeru, rang undang-undang ini akan terus menjadi rang undang-undang persendirian dan terserah kepada Speaker Dewan Rakyat untuk menentukan kedudukannya.

Pada 18 Mac lalu, Dr Ahmad Zahid bertegas bahawa kerajaan melalui Perdana Menteri akan membentangkan usul RUU355 dalam sidang Parlimen yang sedang berlangsung.

Katanya di Kuala Terengganu, buat pertama kalinya Datuk Seri Najib Razak akan membentangkan usul tersebut, menerusi mesyuarat penggal kelima Parlimen ke-13, yang akan berakhir 6 April depan.

Namun jelas kini UMNO sudah kantoi. Sejarah sudah tercipta!

Janjinya untuk membantu PAS tidak kesampaian dan PAS pula kantoi dengan penyokongnya yang mengharapkan bantuan Umno untuk membolehkan RUU355 dibentangkan dengan mudah.

Jelas kini segala-galanya berada dalam keadaan yang tidak tentu hala. Malang sungguh nasib RUU355 itu.

Dengan kedudukan itu, status usul persendirian yang dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, itu kini tertakluk kepada pertimbangan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Ditentang sejak dulu

Dengan kata lain, RUU355 yang dilihat sebagai 'milik PAS’ walaupun untuk kepentingan kerajaan semata-mata bergantung kepada ihsan speaker.

Jika dibenarkan dibentang, ia boleh dibentangkan dan jika tidak, bermakna ia perlu ditangguhkan. Sampai bila? Tidak seorang pun ketahui.

Apakah PAS selesa dengan kedudukan itu selepas meyakini bahawa BN - khsuusnya Umno - bersama mereka menjamin RU355 dibentang dan diluluskan di mahkamah?

Usul meminda Akta 355 itu dibawa Abdul Hadi untuk meningkatkan had hukuman bagi kesalahan jenayah syariah menjadi RM100,00 denda, penjara 30 tahun dan 100 kali sebatan.

Selain memecahkan perpaduan pembangkang, usul berkenaan juga ditentang hebat parti komponen dalam BN sehingga sekarang.

Kenyataan Dr Ahmad Zahid bahawa perdana menteri komited untuk menterjemahkan hasrat tersebut tanpa mengganggu gugat kepentingan agama serta kaum lain di negara ini kini mungkin boleh dipersoalkan.

Bagaimanapun ia kini diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, sedangkan sebelum ini Umno memberikan jaminan perdana menteri komited mengenainya.

"Kalau speaker memutuskan untuk membenarkan (ia dibentangkan), maka ia akan dibentangkan. Begitu juga dengan keputusan peraturan rang undang-undang tersebut," kata Najib.

Gembirakah PAS dengan pendirian Najib dan Umno ini?

Umno 'cuci tangan'

Ketika ditanya adakah ketetapan diambil itu bermaksud ahli parlimen BN tidak menyokong rang undang-undang itu apabila ia dibentangkan atau mereka boleh mengundinya, Najib sekali lagi berkata, ia bergantung kepada peraturan speaker.

"Mungkin ada atau tidak ada undian. Bergantung kepada peraturan speaker untuk memutuskannya," kata Najib.

Bukan sekadar itu sahaja, perdana menteri turut menolak pandangan bahawa Umno cenderung kepada cadangan tersebut.

Ternyata PAS kini terkial-kial untuk menjamin RUU355 mendapat tempat seperti diharapkannya.

Bagaimana Umno boleh ‘cuci tangan’ demi menjaga hati sekutu atau parti komponennya dalam BN, padahal mereka sudah memberikan harapan begitu besar kepada PAS.

Apakah pendirian Dewan Tertinggi BN ini akan menggugat apa yang disifatkan Ahmad Zahid sebagai kerjasama kerajaan BN dengan "rakan baru" yang pernah menjadi musuh politik mereka demi memelihara kesucian Islam dan kedaulatan Melayu selepas ini?

Najib memberikan alasan Umno tidak cenderung kepada cadangan Abdul Hadi itu kerana BN percaya mengenai semangat dasar konsensus. “Begitulah cara BN," tegas Najib.

Ini sama sekali bertentangan dengan sikap awal Umno yang dilihat sangat mengambil berat mengenai hasrat PAS mahu membentangkan usul berkenaan.

Apakah PAS akan bertindak balas seperti yang pernah dilaungkan oleh pemimpinnya?

Rakyat Malaysia memerhatikan ‘drama RUU355’ ini dan menantikan penyudahnya.

* HAMBALI ABDUL LATIFF bekas wartawan, pengarang akhbar dan kini perunding media 

bebas.

Tiada ulasan: