HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Mac 2017

Air bawah tanah sebagai sumber baharu air negara – Ahmad Zahid

Bernama
Ahmad Zahid Hamidi

PORT DICKSON – Sumber air bawah tanah akan dicadangkan menjadi sumber baharu air negara memandangkan penggunaannya pada masa ini masih di tahap rendah, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, simpanan air bawah tanah kini berjumlah tiga trilion meter padu dan negara hanya menggunakan 1.5 peratus daripadanya.

“Negara kita mempunyai sumber air yang banyak dan (menerima) sebanyak 907 bilion meter padu taburan hujan setahun dan adalah sesuatu yang luarbiasa, tetapi kita tak cukup air.

“Mustahil negara yang banyak sumber air tetapi menghadapi kekurangan air… ertinya kita mempunyai kelemahan dari segi pengurusan air. Sebagai pengerusi Majlis Sumber Air Negara, saya terpukul kalau ada negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak kekurangan air… ini adalah cabaran besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Air Sedunia 2017 peringkat kebangsaan di Dataran Teluk Kemang di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Ahmad Zahid berkata, pengurusan air yang cekap adalah menjadi tangunggjawab semua pihak baik di peringkat kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri bagi mengelakkan berlakunya kekurangan air.

“Kita ambil contoh Somalia… sebanyak 250 orang mati setiap hari akibat kemarau… kita bantu Somalia cari air bawah tanah walaupun 150 meter bawah tanah supaya boleh melakukan pengairan di kawasan pertanian yang kering kontang.

“Ini sumbangan kita melalui teknologi. Kalau kita mempunyai kemampuan untuk bantu negara lain, tentunya kita harus buktikan kita boleh urus air dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji sistem pengurusan air Negeri Sembilan dipengerusikan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang berjaya menguruskan sumber air dengan baik meskipun terdapat negeri lain yang dilanda kemarau ketika itu.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut menggariskan empat fokus utama bagi kemampanan industri perkhidmatan pembetungan negara.

Empat fokus itu ialah modenisasi perkhidmatan pembetungan melalui aplikasi teknologi baharu yang lebih mesra alam dan perluasan liputan dan akses di luar bandar termasuk bandar besar di luar Lembah Klang.

Turut diberikan fokus ialah rasionalisasi loji kumbahan kecil dan tidak ekonomik bagi mengurangkan kesan pencemaran efluen kepada alam sekitar serta usaha pengkomersialan ‘sisa kepada kekayaan’.

Hari Air Sedunia disambut pada 22 Mac setiap tahun merupakan acara tahunan dianjurkan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sejak 1993.

Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan membaharui tekad semua lapisan masyarakat dunia untuk menangani isu-isu berkaitan air melalui pelan strategik dan pelaksanaan tindakan oleh setiap negara di seluruh dunia.


Tiada ulasan: