Menariknya, penggunaan pengering rambut dalam membentuk sebilah mata parang yang diingini hanya mengambil masa 15 minit.
Mata lelaki berbaju putih ini merenung tajam timbunan bara sambil menguisnya dengan batang besi.
Tidak berpuas hati dengan kemarakan api, lelaki itu terus menekan suis elektrik di sudut penjuru bengkel untuk menghidupkan satu ‘alat berwarna biru’.
“Api kena agak marak semasa proses menempa besi (dibakar dan diketuk berulang kali) untuk dijadikan mata parang. Kita guna pengering rambut kerana anginnya cepat menyemarakkan api,” kata Haddy Piris, tukang kraf dari suku kaum Dusun ini.
“Lain daripada kebiasaan”, bisik hati penulis yang ketika itu berada di bengkel Haddy di kampung Kipaliu, Kinaratuan, Ranau, Sabah.
Tukang kraf yang berusia 35 tahun itu ternyata mempunyai kreativiti sendiri yang belum pernah saya lihat digunakan pembuat kraf logam iaitu menggunakan pengering rambut.
Kebiasaannya, teknik tradisi dikenali sebagai alat peniup atau ‘blower’ iaitu sejenis alat khusus diperbuat daripada buluh digunakan tukang kraf logam bagi meningkatkan suhu api ketika proses menempa.
“Setiap tukang kraf berbeza. Saya gantikan alat peniup dengan pengering rambut kerana ia mempunyai banyak kelebihan termasuk memudahkan proses menyemarak dan mengimbangkan suhu api,” jelasnya.
Teknik guna pengering rambut
Api yang marak memang sukar dikawal dan sekiranya tidak dijaga dengan betul boleh menyebabkan besi lebur dan tidak boleh lagi digunakan.
“Pengering rambut mempunyai kekuatan hembusan angin sama ada kuat atau perlahan dengan menekan punat. Melalui punat inilah, kita boleh mengawal kemarakan api berdasarkan kelajuan angin dikeluarkan,” katanya.
Diletakkan bertentangan timbunan bara, peralatan itu ternyata banyak membantu bapa kepada 4 orang anak ini menghasilkan parang dengan cepat berbanding sebelum ini.
Kaedah alat peniup pula mengambil masa lama membentuk parang selain ia memerlukan kapasiti tenaga lebih daripada seorang bagi menaikkan suhu bahang api serta mengawal selia teknik tradisi itu.
“Kalau di Sabah, teknik alat peniup seperti pam basikal.
“Proses ini memerlukan 2 orang kerana perlu mengawal suhu api dan mengendalikan alat peniup. Cara ini agak lambat,” katanya.
Menurut Haddy, apa yang menarik tentang penggunaan pengering rambut ialah pembentukan sebilah mata parang yang diingini hanya mengambil masa 15 minit.
Minat parang perhiasan
Berbanding pengusaha kraf lain yang mempunyai pengalaman berpuluh-puluh tahun, Haddy baru 2 tahun mengusahakan kraf parang hiasan.
Pun begitu kualiti produknya sangat menggagumkan kerana perincian kehalusan ukiran sarung dan hulu
begitu kemas serta memenuhi ketajaman parang yang diingini pelanggan.
“Saya bukanlah seperti majoriti besar pengusaha kraf yang mewarisi kerja seni ini daripada keluarga.
Sebelum ini, saya bekerja sebagai pemotong kayu balak di Ranau dan langsung tidak pandai buat parang.
“Bagaimanapun, saya mula jatuh hati dengan aktiviti seni ini apabila melihat rakan sekerja warga Indonesia begitu pandai membuat parang dan ia sangat cantik. Daripada dialah, saya belajar menghasilkan parang perhiasan,” kata Haddy.
Minat mendalam serta yakin kerjaya pertukangan kraf ini mempunyai prospek masa hadapan, beliau nekad berhenti kerja dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada perusahaan parang perhiasan.
Haddy juga giat meningkatkan pengetahuan seni logam itu dengan mengambil tunjuk ajar daripada tukang parang yang hebat di sekitar Sabah.
“Parang perhiasan banyak permintaan khususnya orang Semenanjung. Mereka suka membeli parang ini kerana selain dijadikan perhiasan atau hadiah, ada yang menggunakannya untuk menyembelih lembu semasa Hari Raya Haji,” katanya.
Parang Ranau
Mampu menghasilkan 30 bilah parang dalam masa sebulan, akui Haddy pembuatan parang hiasan bukanlah mudah malah sangat merumitkan. Ia memerlukan ketekunan, kemahiran dan kreativiti tinggi dari segi kehalusan ukiran pada hulu dan sarung parang.
Sifat sabar juga sangat penting kerana untuk menyiapkan sebilah parang lengkap dengan rekaan tertentu sahaja akan mengambil masa sangat lama.
Memperuntukkan lebih 12 jam sehari bermula seawal 7 pagi, Haddy berkata sebahagian besar proses kerja seni ini boleh dikatakan dibuat secara tradisional.
Bermula daripada proses menempa besi, mereka bentuk, kemasan aksesori besi, membuat hulu dan ukiran pada sarung serta pembersihan parang, kesemuanya dibuat secara manual dan tiada mesin khas digunakan.
“Produk parang hiasan kini sudah banyak dijual sama ada di Semenanjung mahupun Sabah serta Sarawak. Yang membezakannya adalah kerja seni, motif, itulah yang menarik minat pembeli.
“Sebab itu saya tidak kisah bertukang seawal pagi hingga malam untuk menghasilkan hanya terbaik kepada pelanggan. Saya menggunakan motif seperti ukiran daun periuk kera, sisik nenas dan pucuk paku pada hulu serta sarung parung,” katanya.
Gabungan kayu
Bagi menambahkan keunikan dan nilai komersial parang Ranau, Haddy menggabungkan pelbagai jenis kayu pada hulu dan sarung parang sekali gus menjadi simbol identiti kepada produknya.
Ini kerana, kebanyakan tukang parang cenderung menggunakan hanya satu jenis kayu dalam pembuatan kerja kraf mereka.
“Biasanya saya akan cantumkan 2 atau 3 jenis kayu pada hulu serta sarung. Gabungan warna kayu ini menjadikannya ia kelihatan lebih cantik dan menarik kerana ada warnanya cerah, gelap dan kehitam-hitaman.
“Produk saya menggunakan warna asli kayu dan tidak dicat. Antara jenis kayu saya gunakan adalah kayu malam, kayu kopi, kayu bawang-bawang, kayu pokok limau dan paling menarik adalah kayu ‘burl’,” katanya.
Kayu “burl” dirujuk Haddy sebagai kayu daripada pelbagai jenis pokok yang diserang penyakit tetapi mempunyai nilai sangat tinggi dalam kalangan pembuat parang.
Ini kerana, penyakit kayu itu menjadikan urat atau pusar yang terhasil pada kayu “burl” sangat cantik dan unik seolah-olah membentuk motif tertentu pada produknya.
“Harga kayu ‘burl’ ini bukannya murah. Ada peniaga letak RM70 sekaki, ditambah pula sekarang ini kayu memang susah hendak dapat. Tetapi, kita rasa puas apabila melihat hasilnya,” katanya.
Kraf Malaysia
Dijual pada harga serendah RM150 sehingga RM500, ia bergantung kepada kesukaran membuatnya, ukiran diingini pelanggan serta gabungan pelbagai jenis kayu pada sesuatu produk.
Lagi banyak kayu digabungkan, lagi sukar untuk membuatnya manakala kos paling mahal adalah menggunakan tanduk rusa untuk dibuat hulu parang.
Bagaimanapun, ia bergantung kepada permintaan dan sumber bekalan kerana tanduk rusa bukan mudah diperolehi.
Haddy juga hanya menggunakan besi berkualiti seperti mata gergaji dan rantai jengkaut kerana ia kukuh dan tahan lasak.
Mengenai hasil jualan, beliau berkata ia semakin meningkat terutama selepas aktif menyertai program Kraftangan Malaysia tahun lepas.
“Pernah juga jualan mencecah RM5,000,” katanya
Sebelum mengakhiri wawancara, Haddy berkongsi panduan menjaga parang.
“Kalau hendak parang tahan lama ketajamannya, sapukan minyak bayi atau minyak enjin semingu sekali bagi mengelakkannya berkarat. Ini juga menjaga mata parang,” kata Haddy.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan