HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Mac 2017

PAS mahu pembangkang menguntungkan, bukan membebankan, kata ADUN BN

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic


SHAH ALAM: Tindakan PAS yang enggan menyertai parti pembangkang lain dalam Pakatan Harapan (PH) adalah kerana menyedari gabungan itu bukan rakan kongsi terbaik, malah akan lebih membebankan parti itu jika mereka menjalinkan kerjasama.

ADUN Permatang, Sulaiman Razak berkata, PAS pada ketika ini sedang dalam proses mencari rakan kongsi yang boleh memberikan keyakinan serta keuntungan, bukannya bebanan.

"Saya ingat ini lebih kepada iklim politik. PAS pun dalam satu keadaan untuk memilih di mana rakan kongsi terbaik.

"Kalau PAS nak bergerak bersendirian sebagai blok ketiga mungkin agak sukar walaupun ia mewujudkan blok ketiga, namun untuk mencari rakan kongsi baik, pastilah PAS ambil kira banyak perkara. Kalau mereka berbalik ke PH, bererti mereka buat pusingan-U.

"Sebab itu PAS meletakkan syarat kepada PKR, jika mahu bekerjasama dengan PAS, PKR kena tinggalkan DAP. Pada saya, kalau pilih PH, PAS akan rasa bebanan itu, pasti ia terbeban," katanya kepada Antarapos ketika ditemui di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan baru-baru ini menegaskan PAS tidak akan menyertai PH mahupun bersama Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ujar Ahli Parlimen Marang itu, menyertai BN laksana memikul biawak hidup, tetapi menyertai PH 'biawaknya lebih besar dan penyakitnya lebih parah'.

Katanya, PAS enggan menyertai PH kerana bercanggah dengan dasar dan konsep, serta di dalamnya ada parti dan pemimpin yang terus menerus menentang Islam secara terbuka, bersembunyi atau oportunis.

Mengulas lanjut kenyataan Hadi, Sulaiman berkata PH pada ketika ini lebih terbeban selepas penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tajaan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang seolah-olah mahu mendominasi gabungan berkenaan.

"Kita sedia maklum PH pun terbeban. Baru-baru ini Bersatu (PPBM) yang baru muncul dalam PH, mahu jadi ketua, nak duduk di kerusi pemandu.

"Sudah tentu saya fikir PKR yang lama asaskan PH, PAN (Amanah) yang lebih awal daripada mereka dengan kerusi yang lebih, takkan nak beri laluan kepada Bersatu (PPBM) untuk ambil alih.

"De facto dalam PH ialah DAP. DAP takkan beri ruang. PAS lihat caca merba dalam PH tak bina apa-apa keyakinan pun, dan saya yakin rakyat akan buat pilihan terbaik sampai satu peringkat ia akan buat pilihan siapa yang terbaik untuk perintah negara," katanya.


Tiada ulasan: