HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Mac 2017

Tiada abang sulung, adik bongsu dalam Pakatan Harapan


Farhan Darwis


Setiap cadangan komponen Pakatan Harapan akan dibincangkan namun tidak semua cadangan itu akan dipersetujui

KUALA LUMPUR: Tiada istilah ‘Abang Sulung’ atau ‘Adik Bongsu’ dalam blok pembangkang memandangkan setiap parti di dalam Pakatan Harapan mempunyai kekuatan serupa, kata DAP.

Ahli Parlimen Seremban Loke Siew Foke berkata, blok pembangkang itu bagaimanapun terbuka kepada sebarang cadangan termasuk daripada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Muhyiddin Yassin yang mencadangkan parti dominan Melayu harus mengetuai blok pembangkang tersebut.

“Tiada abang sulung atau adik bongsu dalam Pakatan Harapan, kita gabungan politik yang setiap partinya mempunyai kekuatan yang sama.

Tiada mana-mana parti yang dominan dan itu perbezaan ketara antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan,” kata Loke ketika sidang media di Parlimen, hari ini.

Tambahnya, Pakatan Harapan juga tidak berhasrat untuk meniru pendekatan BN yang didominasi Umno.
“Rakyat Malaysia tidak mahu wujud lagi satu Umno dalam Pakatan Harapan.”

Loke bagaimanapun berkata, cadangan Muhyiddin itu juga akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama antara PKR, DAP, dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.

“Namun tidak semua cadangan PPBM kita akan setuju,” katanya lagi.
 
Muhyiddin dalam ceramahnya di Kota Kiri, Padang Rengas, pada Sabtu lalu  berkata, langkah itu penting bagi memastikan pakatan tersebut dipelopori oleh parti yang berteraskan Melayu bagi mewujudkan keyakinan rakyat.

Kata Muhyiddin, gerakan yang akan dipelopori oleh pembangkang mestilah organisasi yang diketuai Melayu, majoritinya Melayu tetapi parti-parti lain yang bergabung dalam Pakatan Harapan akan menjadi sebahagian daripadanya.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, perkara itu akan dibicangkan bersama-sama kepimpinan parti-parti komponen di dalam Pakatan Harapan dalam masa terdekat.

Tiada ulasan: