Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membebaskan bekas pelajar Siti Noor Aishah Atam yang ditangkap semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Menurut beliau, pihaknya mengkritik sekeras-kerasnya tindakan zalim Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menangkap semula Siti Noor Aishah atas tuduhan bersekongkol dengan aktiviti keganasan.
"Menyekat mana-mana rakyat daripada membaca aliran pemikiran berbeza adalah satu kegilaan yang perlu dicegah.
"Saya mendesak kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib supaya membebaskan Siti Noor Aishah dengan segera dan bersihkan nama mangsa kezaliman Sosma dan Poca (Akta Pencegahan Jenayah 1956) ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tangkapan dan penahanan itu dikuat-kuasakan 27 Mac lalu, selepas beliau hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Tindakan itu susulan rayuan yang dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan beliau pada September tahun lalu kerana memiliki 12 buah buku.
Siti Mariah menegaskan, penahanan yang dibuat ke atas Siti Noor Aishah sekarang dan sebelum ini adalah menafikan haknya sebagai pelajar untuk membaca bahan rujukan sebagai satu kajian.
"Kerajaan perlu berhenti menakut-nakutkan penduduk negara ini dan sewajarnya menilai semula modus operandi membasmi kegiatan keganasan dengan lebih baik dan terancang dan menzalami mana-maan pihak yang tidak bersalah.
"Menggunakan Sosma dan Poca sebenarnya satu kezaliman terang-terangan sekali gus bertentangan dengan hak-hak rakyat dalam negara ini," katanya yang juga Ketua Angkatan Wanita (Awan) Parti Amanah Negara.
Siti Noor Aishah, 29, pertama kali ditahan pada Mac tahun lalu, di bawah Seksyen 130JB Kanun Keseksaan dan Sosma, kerana memiliki 12 buah buku yang didakwa berkaitan dengan kumpulan pengganas.
Pada bulan berikutnya, dia didakwa di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dan tidak mengaku bersalah memiliki buku-buku berkenaan, selepas kes itu dibicarakan.
Siti Noor Aishah, seorang bekas pelajar sarjana Usuluddin, Universiti Malaya, dipetik berkata beliau menggunakan buku-buku berkenaan untuk penyelidikan ijazah sarjananya.
Selepas dia ditangkap pada Mac tahun lalu, Universiti Malaya memecatnya, kerana gagal menghadiri kelas.
Mengulas lanjut pada sidang media di bangunan parlimen, hari ini, Siti Mariah berkata Siti Noor Aishah ditahan kerana memiliki 12 buku yang didakwa berkaitan dengan keganasan tetapi sehingga hari ini buku-buku berkenaan tidak pernah diharamkan.
“Dua belas buku itu tidak pernah disenarai KDN sebagi buku diharamkan.
“Bendera (IS) pun tak ada bukti,” katanya.
Sosma memperuntukkan tahanan tanpa perbicaraan selama 28 hari manakala kerajaan sedang berusaha meminda akta itu bagi membolehkan tangkapan selama 5 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan