HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Mac 2017

Perlekehlah semahunya, Kit Siang nekad 'bertempur' PRU14

MALAYSIAKINI



Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berikrar untuk terus 'bertempur' dalam pilihan raya umum akan datang walaupun diserang bertubi-tubi sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

"Kempen peringkat tinggi oleh para pemimpin Umno dan BN untuk memperlekeh dan memusnahkan saya akan terkesan ke atas keazaman untuk tidak tunduk kepada 'politik kotor' berupa kebencian, ketakutan dan ugutan.

"Jika saya akhirnya membuat keputusan untuk terus berjuang dalam pilihan raya umum akan datang, saya perlu berterima kasih kepada 'taktik kotor' BN untuk kempen pembohongan dan penipuan bertujuan menghapus serta mematahkan semangat saya," kata ahli Parlimen Gelang Patah itu dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata, dalam beberapa bulan kebelakangan ini, beliau menjadi subjek bagi percubaan pada setiap hari untuk meletakkan label 'anti-Melayu dan anti-Islam' oleh media yang dikawal oleh kerajaan.

"(Mereka) gambarkan saya sebagai syaitan, hantu, puaka dan juga jembalang seolah-olah nafas  saya keluarkan api atau makan bayi untuk sarapan pagi," tulis Lim.

Apa yang mendorong Lim untuk bertindak sejauh ini ialah pemberian ganjaran wang tunai RM50,000 oleh Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa untuk esei terbaik mengenai Lim sebagai 'anti-Melayu dan anti-Islam'.

Semalam, Lim menyifatkan ia sebagai percubaan yang 'bodoh' untuk membuat tuduhan sedemikian dan kemudian meminta bukti daripada orang ramai dengan menawarkan ganjaran tunai.

Kempen penulisan esei itu turut mendapat sokongan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang mempertahankan tindakan Annuar menganjurkan peraduan menulis mengenai Lim.

"Saya percaya niatnya adalah untuk mendedahkan apa yang telah diperkatakan terhadap Lim Kit Siang, bahawa dia (Lim) adalah seorang yang bersifat perkauman, anti-Islam, dan sebagainya, seperti yang Annuar beritahu parlimen.

"Jadi ini adalah bagaimana dia memberikan lebih banyak pendedahan kepada rakyat mengenai ahli politik bernama Lim Kit Siang, yang banyak dipersoalkan wataknya. Ini adalah bagaimana beliau mendedahkan mengenai Lim," katanya.

Annuar menawarkan hadiah wang tunai RM50,000 untuk esei terbaik bertajuk “Adakah benar Lim Kit Siang seorang rasis, anti Islam dan 51 tahun diktator?”

Tiada ulasan: