Roketkini.com
SHAH ALAM: Kenaikan kos sara hidup ekoran pelaksanaan cukai
barangan dan perkhidmatan (GST) dapat dielakkan jika kerajaan
UMNO-Barisan Nasional (BN) serius membasmi budaya rasuah.
Adun Balakong, Eddie Ng Tien Chee berkata, ketirisan dana akibat
daripada jenayah itu jika diperangi secara menyeluruh dapat
mengembalikan semula pelbagai subsidi yang dinikmati rakyat sebelum ini.
“Pakatan Harapan dengan konsistennya telah membantah perlaksanaan
GST. Kami berpandangan bahawa kekurangan hasil kerajaan untuk menampung
perbelanjaan yang tinggi dapat diatasi sekiranya pentadbiran kerajaan
lebih efektif dengan menghapuskan rasuah.
“Ia termasuk membasmi salah guna kuasa serta penyelewengan yang telah
mengakibatkan negera kehilangan wang melebihi AS$48.93 bilion,” katanya
dalam kenyataan hari ini.
Malah, menurut Eddie Ng yang juga Setiausaha Organisasi DAP Selangor,
janji menteri UMNO, Datuk Ahmad Maslan bahawa kononnya harga barangan
akan turun kerana GST, terbukti kini sama sekali tidak benar.
Sebaliknya, kata Eddie Ng, cukai yang diperkenalkan pada April 2015
itu telah mengakibatkan kos barangan dan perkhidmatan melambung tinggi
ditambah dengan penghapusan pelbagai subsidi barangan keperluan harian.
“Melalui GST, kerajaan berjaya mengutip RM27 bilion pada tahun 2015
dan RM39 bilion pada tahun 2016. Di manakah duit tersebut dibelanjakan?
“Bukankah kerajaan, melalui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
mengumumkan GST merupakan penyelamat kepada rakyat Malaysia? Ataupun
ianya sebenarnya penyelamat kepada kerajaan Malaysia yang hampir
muflis,” ujarnya.
Pakatan Harapan tidak perlu GST untuk senangkan rakyat
Ia berbeza dengan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor, yang
menurut Eddie Ng tidak memerlukan ‘cukai zalim’ itu bagi menyediakan
pelbagai bantuan dan kemudahan kepada rakyat.
“Kerajaan Pakatan Harapan di Pulau Pinang dan Selangor yang tidak
menerima sebarang hasil daripada cukai GST telah membuktikan keupayaan
kami mentadbir dengan lebih cekap dan berkesan.
“Tanpa bergantung pada GST, kerajaan Selangor telah berjaya berkongsi
hasil negeri dengan rakyat malalui program-program Merakyatkan Ekonomi
Selangor seperti air percuma, Tawas, SMUE, Tunas dan banyak lagi
termasuk yang terkini, Skim Peduli Sihat yang dianggar menelan kos
sebanyak RM125 juta setahun untuk program ini sahaja,” katanya.
Kejayaan Pakatan Harapan ini katanya, adalah hasil daripada
mengamalkan prinsip pentadbiran yang adil, telus serta bebas rasuah. –
Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan