HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Mac 2017

Mudahkah usul PAS bercerai dengan PKR jadi kenyataan?

Oleh Abdul Rahman Malik
Post Pic
 
 
[ULASAN] Dalam Muktamar PAS ke-63 hujung April ini akan berlangsung pemilihan pemimpin. Tidak seperti Muktamar 2015 di mana kepimpinan ulama dicabar oleh golongan profesional, pemilihan kali ini boleh dianggap “sunyi”.
 
Golongan menentang kepimpinan ulama hampir kesemuanya sudah meninggalkan PAS dan kebanyakan mereka menyertai Parti Amanah Negara (Amanah). 
 
Ada segelintir seperti bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar, orang kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada zaman ABIM yang “berlindung” di bawah PAS sejak zaman reformasi tercetus pada 1998, melompat ke PKR.
 
Justeru isu yang menjadi tumpuan ialah bagaimana PAS mengharungi pilihanraya umum ke-14? Adakah cukup baginya melakar kejayaan sekadar berganding dengan parti Ikatan Rakyat Malaysia (Ikatan) dan Berjasa sahaja?
 
PAS sanggup mufarakah daripada DAP dan Amanah kerana prinsip. DAP, bagi PAS, anti-Islam sementara Amanah pula disifatkan pengkhianat perjuangan PAS.
 
Hubungan PAS-PKR semakin goyah
 
Bagaimanapun pencetus keretakan hubungan PAS dengan PKR berbeza sedikit. PKR nampaknya tidak cenderung pada perjuangan Islam PAS dan dilihat sering cuba mengambil kesempatan terhadap sikap budiman PAS.
 
Dalam menuju muktamarnya, ahli akar umbinya mula menggariskan faktor-faktor yang mencetuskan “kekecewaan” terhadap parti Anwar Ibrahim itu dan mahu tahaluf siyasi dengan PKR diputuskan. Antaranya:
 
1. PKR menjejaskan kedudukan PAS di kalangan pengundi Melayu-Islam terutama di Pulau Pinang,
2. PKR tidak menghormati PAS sebagai rakan tahaluf kerana bekerjasama dengan DAP dan Amanah menyerang PAS. 
3. PKR didapati sewenang-wenangnya menggunakan sebilangan ahli PAS untuk kepentingan politiknya tanpa perbincangan dengan pimpinan PAS. 
4. PKR memujuk ahli PAS meninggalkan parti konon untuk diberi jawatan tertentu dalam kerajaan negeri Pakatan Harapan 
5. PKR gagal mempertahankan Islam di Pulau Pinang dan mendakwa parti itu menurut kehendak DAP mencampuri urusan fatwa.
6. PKR juga tidak sensitif menerima keahlian Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar yang menang atas tiket PAS pada PRU Ke-13.
7. PKR bersikap dingin terhadap usaha PAS mahu memperkasa bidang kuasa Mahkamah Syariah
8. PKR tidak menyokong PAS dalam pilihanraya kecil parlimen Sungai Besar sebaliknya berkempen untuk calon Amanah.
9. PKR gagal mentadbir dan menyelesaikan isu pengambilalihan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) hingga menjejaskan nama baik PAS yang juga rakan kongsi mentadbir Selangor.
 
Setakat ini momentum akar umbi digerakkan Pemuda PAS Tumpat, Permatang Pauh, Bagan Baru dan Kuala Selangor melalui usul yang mahu Muktamar PAS ke-63 memutuskan hubungan tahaluf dengan PKR.
 
Ini menjadikan PAS Pulau Pinang paling tegas mahu menghentikan tahaluf dengan PKR.  Sebelum ini, antara kawasan PAS negeri itu yang meluluskan usul sedemikian termasuklah Nibong Tebal, Bukit Bendera, Balik Pulau; Jelutong; Kepala Batas; Tasek Gelugor dan Bukit Mertajam.
 
Kekecewaan terhadap PKR di pulau berkenaan memang mudah difahami. Kini Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail digaji oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk “memukat” sebanyak mana undi Melayu mengundi DAP dan Pakatan Harapan.
 
Sudah di antara sasaran setiausaha agung PKR itu membabitkan penyokong-penyokong PAS Pulau Pinang. Ini dianggap satu pembelotan daripada PKR yang juga rakan kongsi PAS.
 
Banyak lagi kawasan PAS dijangka meluluskan usul yang sama dan melebarkan perbincangan mampukah PAS bergerak sendirian mengharungi PRU 14 tanpa PKR, DAP dan Amanah serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)?
 
Bagaimanapun sebelum itu seharusnya diteliti apakah kata majoriti perwakilan dalam Muktamar ke-63 kelak? Sebenarnya beramai di kalangan mereka memang mahu PAS bercerai dengan PKR?
 
Perkongsian kuasa sejak 2008 di antara PAS dan PKR telah membuka ruang yang luas untuk PAS menimba pengalaman mengurus atau memerintah sebuah negeri yang makmur seperti Selangor.
 
Meskipun PKR yang mengemudi Selangor secara keseluruhannya tetapi dua menteri besar PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kini Datuk Seri Azmin Ali nampaknya pandai “menjaga hati” PAS sehingga menghasilkan pasukan exco yang mantap mentadbir negeri berkenaan.
 
Mudahkah PAS Pusat memutuskan hubungan dengan PKR?
 
Yang menarik diperhatikan, apakah begitu mudah Muktamar PAS meluluskan tindakan fasakh terhadap tahaluf dengan PKR?
 
Sesungguhnya proses membuat keputusan dalam PAS agak unik. Walaupun muktamar boleh meluluskan usul sedemikian namun ia perlu diperhalusi dan dipersetujui Dewan Ulama dan Dewan Syura PAS sebelum boleh dilaksanakan.
 
Bila soal fasakh dengan PKR ini dibangkitkan dalam Muktamar 2015, suara-suara tidak bersetuju lantang juga kedengaran. PAS Selangor berbelah bahagi dan mereka cuba mengimbau bagaimana sukarnya bagi PAS Selangor sampai ke tahap memerintah negeri itu.
 
Namun sebahagian daripada yang tidak bersetuju kini sudah tiada lagi dalam PAS dan menyertai Amanah. Adakah kumpulan yang tidak bersetuju ini sudah mengecil dan akan sukar menghalang usul berpisah dengan PKR itu?
 
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali berhutang budi dengan PAS kerana dek usul PAS pada Istana Selangorlah maka beliau terpilih menduduki menteri besar tatkala PKR mahu Datuk Seri Wan Azizah duduk di situ.
 
Namun bak kata beberapa pemimpin veteran PAS, Dewan Pemuda berhak mengemukakan apa jua usul kepada Muktamar, tetapi proses penapisan usul perlu melalui penelitian dan pertimbangan beberapa Dewan dalam hiraki PAS.
 
Mulai 27 April depan isu ini dijangka menjadi semakin hangat dan adalah lebih baik komponen Pakatan Harapan bersabar dan menghormati cara PAS membuat keputusan dan tidak gopoh seperti Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu PAS ditinggalkan sendirian.
 
Tidak kurang gembira ialah Amanah. Ia mempunyai dua wakil. Mungkinkah dengan ketiadaan wakil PAS dalam Exco, mereka akan dinaik taraf untuk sama-sama memerintah Selangor?   
 
 

Tiada ulasan: