Oleh Tok Ki
PERKEMBANGAN terakhir hubungan politik PKR dan Pas berada di tahap genting tetapi belum putus. Ini memang sudah dijangkakan atas pertimbangan prinsip dan perkembangan semasa dalam kalangan pembangkang. Dikatakan muktamar Pas yang berlangsung pada akhir April nanti bakal membuat keputusan mengenai tahaluf yang berlangsung di luar prinsip tetapi hanya kerana kepentingan dan survival politik di Selangor.
PKR
perlukan Pas atas maksud survival dan perlukan tempat di Selangor
kerana peluang menguasai masjid dan surau. Di Lembah Klang ramai orang
Kelantan berada dan masjid menjadi pangkalan penting mentarbiyyah
mereka untuk nantinya bakal kembali ke Kelantan semasa Pilihan Raya
Umum Ke-14 (PRU-14).
Pesuruhjaya
Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berat hati untuk bersetuju
dengan gesaan beberapa cawangan Dewan Pemuda Pas (DPP) di Selangor dan
di negeri-negeri lain yang mahu Pas memutuskan hubungan dengan PKR.
Ada
dua faktor yang menyebabkan berat hati itu wujud. Ahli-ahli Pas di
Selangor yang kini memegang jawatan seperti ahli majlis pihak berkuasa
tempatan, ketua kampung dan pelbagai jawatan lain akan digugurkan.
Kedua,
sekiranya genting menjadi putus kekosongan itu akan diisi wakil rakyat
dan pimpinan parti serpihan Pas iaitu PAN. Ini juga menjadi
kebimbangan Iskandar.
Secara prinsip
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan tidak boleh
bekerjasama dengan parti yang bersama dengan DAP dan PAN. Di Selangor,
inilah yang terjadi. Tidakkah pembangunan di Selangor hasil yang dibuat
oleh exco di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama
dengan Pas dan DAP?
Khalayak sedang
memerhati setakat mana penyertaan Pas dalam kerajaan Selangor membantu
menyeimbangkan pembangunan harta tanah, kemunculan bandar-bandar baharu
dan perumahan yang jangka panjangnya memberi kesan demografik
(kependudukan) dan ekuiti (pegangan) ekonomi dan kuasa politik orang
Melayu.
Apakah Pas dalam Exco Selangor tidak
tegas menyatakan pendirian supaya pusat-pusat judi dan pelacuran dapat
diatasi sedangkan perjuangan Pas untuk memelihara masyarakat daripada
terjebak dengan judi dan zina?
Takdirnya
muktamar Pas April ini membuat keputusan tahaluf siyasi dengan Pas
diputuskan ini bakal menimbulkan pergolakan baharu bagi kerajaan negeri
Selangor. Sebab itu, Mohamed Azmin minta berdamai.
Dalam
masa sama komponen parti dalam Pakatan Harapan masih mahu bersama
dengan Pas. Mereka tahu kalau terjadi pertandingan tiga penjuru dalam
PRU-14 nanti, tidak mudah pembangkang dapat sampai ke Putrajaya.
Yang
peliknya, maklumat berbeza dalam kalangan kepemimpinan Pas mengenai
kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Ada yang sudah
menolak PPBM kerana menyertai Pakatan Harapan.
Ada yang mengatakan
perundingan masih berjalan. Ada yang mengatakan cara gaya politik PPBM
masih mewarisi politik UMNO. Tapi dikatakan Pas pernah berunding dengan
PPBM ke arah tahaluf siyasi tetapi tidak pula kepada UMNO.
Gelagat
politik ini diperhatikan oleh khalayak mengenai sikap politik Pas yang
cenderung bekerjasama dalam isu-isu tertentu dengan kerajaan tetapi
tidak bersedia untuk melakukan tahaluf siyasi dengan UMNO.
Pada
hemat penulis UMNO tidak akan rugi dengan pendirian Pas ini dan adalah
bijak bagi Datuk Seri Mustapa Mohamed di Kelantan untuk membuat
persiapan rapi kerana pertandingan tiga penjuru boleh menguntungkan
UMNO.
Betapa dengan kemunculan Tun Dr.
Mahathir Mohamad dalam kepemimpinan Pakatan Harapan menyebabkan
liabiliti di mata penyokong Lim Kit Siang seperti apa yang telah berlaku
di Melaka. Tan Sri Zainudin Maidin orang kuat Dr. Mahathir
mencadangkan supaya bekas Perdana Menteri itu bertanding dalam PRU-14.
Adakah untuk jadi Perdana Menteri semula? Ke mana berakhirnya Datuk
Seri Anwar Ibrahim yang masih bercita-cita untuk menjadi Perdana
Menteri? Inilah percaturan sebenar politik pembangkang yang bakal
menyebabkan pembangkang lebih berpecah-belah dengan impian
masing-masing.-U/M
Tiada ulasan:
Catat Ulasan