shahbudindotcom
Sekurang-kurangnya
tiga orang sudah menyatakan minat dan kesediaan untuk menentang Najib
Razak di kerusi Parlimen Pekan dalam pilihanraya umum akan datang ini.
Mereka
ialah Ezam Mohd Nor yang menyatakan kesediaan untuk bertanding melalui
Parti Bebas Rasuah yang bakal ditubuhkannya, Anina Saadudin, Ahli MPT
Bersatu dan Abdul Rahman Mohd Nor, Ketua Bahagian Bersatu Pekan.
Di
antara ketiga-tiga mereka, hanya Abdul Rahman merupakan orang tempatan
Pekan. Beliau memang berasal dari Pekan, pernah menjadi pegawai tinggi
kerajaan dan kini mengetuai Bersatu di bahagian itu, manakala Ezam dari
Selangor dan Anina pula dari Langkawi, Kedah.
Fokus
utama Pakatan Harapan dalam PRU 14 ialah untuk menyingkirkan Najib
dengan cara mengalahkan UMNO dan BN melalui peti undi. Dengan yang
demikian, usaha untuk menumbangkan Najib di Pekan seharusnya menjadi
pilihan yang kedua.
Najib
bukan tidak boleh dikalahkan di Pekan, tambahan lagi beliau pernah
menang cuma dengan 241 undi saja pada pilihanraya 1999 yang lalu.
Tetapi,
sejak kemenangan tipis 1999 itu, beliau telah menambah ramai pengundi
baru untuk mengundi di Pekan. Sejak itu, kemenangan Najib sentiasa agak
selesa dengan terbaru pada pilihanraya 2013, beliau menang dengan
majoriti 35,613 undi mengalahkan calon PKR, Mohd Fariz Musa.
Dengan
yang demikian, tambahan lagi dengan amalan "cash is king" yang kian
berleluasa dan Najib sendiri semakin mempunyai banyak wang sekarang ini,
menumbangkannya di Pekan boleh dianggap hampir mustahil.
Oleh
itu, untuk apa Ezam yang berasal dari Selangor dan Anina dari Langkawi,
cuba cari nahas dengan menawarkan diri bertanding di Pekan?
Mampukah mereka mengalahkan Najib atau mereka bertanding sekadar ingin glamour serta publisiti semata-mata?
Bagi
Ezam dan Anina, jika mereka masih menjiwai perjuangan Pakatan Harapan
dan Tun Mahathir Mohamad yang ingin menumbangkan UMNO dan BN serta
dengannya akan membuatkan Najib turut tersingkir, adalah lebih baik
mereka menumpukan usaha secara nasional dan bergerak ke seluruh negara
bersama-sama gabungan pembangkang bagi tujuan itu.
Jika
ada rezeki dan keyakinan daripada Pakatan Harapan, Ezam dan Anina
sebenarnya lebih sesuai bertanding di tempat lain, seperti di Selangor
atau Kedah misalnya. Jika Pakatan Harapan menang, mungkin ada jawatan
tertentu menunggu mereka.
Bagi
kerusi Pekan, jika Pakatan Harapan memutuskan mahu menyerahkan kerusi
itu kepada Bersatu, Abdul Rahman dengan kedudukannya sebagai anak jati
Pekan dan pernah menjadi pegawai tinggi kerajaan, adalah calon yang
sesuai dan munasabah untuk berlawan dengan Najib.
Setidak-tidaknya
Abdul Rahman tentu ada saudara mara dan kawan-kawan serta lebih
mengetahui selok-belok kampung, jalan berlubang dan rumah-rumah yang
uzur di sekitar Pekan itu berbanding Ezam dan Anina sebagai modal untuk
berkempen.
Meskipun
secara realistiknya harapan Abdul Rahman tidaklah mudah untuk
menewaskan Najib, tetapi beliau dikira masih mampu untuk memberi cabaran
yang sewajarnya jika diberi kepercayaan untuk bertanding. Kata orang,
kalah dalam tangan, menang belum tentu.
Sepertimana
disebut pada awal tadi, PRU 14 ini matlamatnya ialah untuk
menyingkirkan Najib dengan cara menumbangkan UMNO dan BN. Lantaran itu,
fokus jangan sesekali berubah.
Berbanding
mengalahkan Najib di Pekan, menumbangkan UMNO serta BN adalah lebih
mudah dan munasabah. Di tambah dengan sekian banyak isu dalam negara
serta kenaikan kos sara hidup yang berterusan mencengkam rakyat,
mengajak rakyat berubah memilih kerajaan baru tidaklah sesukar meminta
pengundi Pekan agar tidak memilih Najib.
Lagi
pun, dengan tumbangnya UMNO dan BN, jika Najib menang sekali pun di
Pekan, ia tetap tidak memberi sebarang makna lagi kepadanya.
Bagi
Pakatan Harapan, mereka tidak perlu terlalu memberi fokus di Pekan
sehingga hilang tumpuan kepada kawasan-kawasan lain. Juga tidak perlu
melayan sangat saranan golongan akademik agar calon yang setaraf Tun
Mahathir atau Anwar diletakkan oleh Pakatan Harapan untuk bersaing
dengan Najib di Pekan.
Calon
Pakatan Harapan yang berwibawa dan boleh menjadi Perdana Menteri dan
Menteri, seharusnya diberi kerusi lain yang boleh menang supaya selepas
tumbangnya UMNO dan BN, mereka boleh memegang jawatan dalam kerajaan
demi menyelamatkan negara ini.
Memang
seronok dapat melihat Najib kalah di Pekan, tetapi jauh lebih seronok
jika UMNO dan BN dapat ditumbangkan. Keseronokan Najib kalah di Pekan,
bagaimanapun boleh hilang seronoknya jika akhirnya UMNO dan BN terus
berkuasa lagi.
Lantaran itu, jangan sampai matlamat utama yang ingin dicapai tidak kesampaian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan