Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membidas beberapa pihak yang memperlekehkan kenyataannya semalam yang mahu Bersatu menerajui Pakatan Harapan kononnya dengan hanya satu kerusi parlimen, Bersatu tidak layak menentukan halatuju pakatan pembangkang sebelum dan selepas PRU14.
Menurut Sekretariat Media Bersatu, konsep ini bukan baru dan Muhyiddin memberi contoh PKR yang juga bukan parti dengan kerusi terbanyak dalam Pakatan Harapan, tapi mampu menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen dan wakilnya dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.
Begitu juga dalam sistem pemilihan DAP dimana mereka yang menang dengan undi terbanyak dalam pemilihan parti, belum tentu diberikan jawatan utama seperti Pengerusi, Setiausaha Agung dan sebagainya.
Mengambil kira pemilihan DAP 2015, Ahli parlimen Puchong, Gobind Singh Deo mendapat tempat pertama dalam pemilihan CEC tapi akhirnya beliau dilantik sebagai Timbalan Pengerusi parti itu.
“Gerakan baru pembangkang berteraskan Melayu yang dicadangkan ini mempunyai sistem pemilihan yang unik dan tidak semata-mata merujuk kepada siapa mempunyai undi atau kerusi lebih banyak, yang penting ialah pengalaman dan keupayaan memimpin. Lebih penting lagi, ia tidak jauh berbeza dengan sistem yang sedia diamalkan dalam Pakatan Harapan”, menurut Muhyiddin seperti dipetik oleh Sekretariat Media Bersatu.
“Lagipun, tiada siapa tahu kedudukan kerusi yang sebenarnya selepas PRU14, mungkinkah DAP terbanyak atau parti-parti lain, justeru, pilihan untuk siapa yang akan menjadi ketua, masih terbuka”, katanya lagi.
Penjelasan ini diharap dapat menjernihkan salah faham yang timbul lanjutan dari kenyataan yang dikeluarkan Muhyiddin semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan