HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Mac 2017

Che Abdullah nafi PAS mahu ambil balik kerusi daripada PKR

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan menafikan beliau membayangkan akan mengambil semula kerusi yang ‘dipinjamkan' kepada PKR pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) seperti yang dilapor akhbar Utusan Malaysia.
 
Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata kenyataan yang dibuatnya telah diambil dari konteks salah.
 
Malah, katanya, beliau sendiri tidak tahu mengenai kedudukan PKR di Kelantan sehingga ia diputuskan oleh Jawatankuasa Pusat PAS serta dibahaskan dalam muktamar yang akan berlangsung di Kedah hujung bulan depan.
 
“Masa depan PKR di Kelantan kita belum tahu lagi. Saya dah baca (berita berkenaan) tapi berita itu tak betul, ditulis dalam konteks yang salah.
 
“Saya ditanya (wartawan), berapa kawasan yang buat usul putuskan hubungan (dengan PKR). Jadi saya kata, kita (PAS negeri) terima sahaja usul dan belum kira berapa (usul) yang minta kaji hubungan tahaluf siyasi.
 
“Lalu dia tanya, apakah PAS Kelantan akan buat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PKR? Saya kata (persoalan sama ada hubungan diteruskan atau tidak) tertakluk dengan keputusan di peringkat pusat,” katanya dipetik portal Malaysiakini.
 
Utusan Malaysia hari ini ini melaporkan PAS Kelantan akan mengambil kembali kerusi Parlimen dan DUN yang diistilahkannya sebagai ‘dipinjamkan' kepada PKR di Kelantan pada PRU13 selepas mengambil kira keadaan politik semasa membabitkan hubungan kedua-dua parti yang semakin retak.
 
Akhbar itu juga memetik Che Abdullah sebagai berkata, perkara itu berlaku kerana PKR sering berada sepentas dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai DAP untuk menyerang kerajaan negeri Kelantan.
 
Kata Che Abdullah, beliau turut ditanya wartawan akhbar berkenaan sama ada PAS akan memutuskan hubungan dengan PKR sekiranya dipersetujui dalam muktamar nanti dan mengambil kembali kerusi PKR di negeri itu.
 
“Lalu dia (wartawan) tanya, kalau pusat dah buat keputusan putuskan tahaluf siyasi dengan PKR, adakah PAS akan ambil kerusi itu, dan saya kata, mestilah. Kita akan ambil tindakan selaras dengan keputusan yang dibuat diperingkat pusat.
 
“Soalan dia mari (datang) awal (dan bersifat spekulasi) sama ada PAS dan PKR akan berpecah. Kalau pecah, memanglah PAS akan bertanding di kerusi PKR bertanding. Saya dah sebut dari awal, belum tahu lagi (keputusan sebenar sebab) PAS pusat yang akan buat keputusan,” katanya.
 
Che Abdullah berkata PAS akan terus menjalinkan kerjasama dengan PKR sehingga ia diputuskan dalam muktamar tahunan PAS atau keputusan di peringkat Pusat.
 
“Sekarang belum ada keputusan. Dalam muktamar akan bincang panjang lebar tapi belum ada keputusan. Kita masih teruskan hubungan dengan PKR sehingga ada keputusan lain,” katanya.
 
Kelantan memiliki 14 kerusi parlimen dan pada PRU13, PKR bertanding di tiga tempat iaitu Tanah Merah, Ketereh dan Machang, manakala di peringkat DUN, parti itu diberi ruang di Pengkalan Kubor, Kuala Balah, Guchil dan Nenggiri.
 
Bagaimanapun hanya satu kerusi yang dimenangi oleh PKR iaitu DUN Guchil.
 
 

Tiada ulasan: