Isu seks ini dapat dielakkan menerusi komunikasi terbuka antara ibu bapa dan anak
Nor Hayati Endan
KUALA LUMPUR: Kegagalan ibu bapa berkomunikasi secara jelas dan terbuka mengenai isu seks adalah antara punca remaja melakukan seks bebas.
Dr Norsafatul Aznin A Razak, pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya berkata ibu bapa perlu bersikap positif dan terbuka dalam membincangkan perihal seks bersama anak remaja mereka.
“Fokus perbincangan bertujuan memberikan mereka maklumat mengenai salah laku seks bawah umur di samping menjaga unsur agama, kerohanian fizikal serta mental.
“Ibu bapa perlu menekankan aspek batas pergaulan sesama anggota keluarga dan rakan-rakan dalam menangani isu pergaulan bebas yang boleh menjurus kepada aktiviti seks luar nikah,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan tentang seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di Melaka baru-baru ini yang terlibat dengan kegiatan seks bebas, melibatkan beberapa pasangan.
Pengaruh media sosial
Dr Norsafatul turut berpandangan pengaruh media sosial membuatkan golongan remaja mudah ‘goyah’ pendirian.
Mereka juga mudah terdedah kepada maklumat yang salah sekiranya tidak merujuk kepada sumber yang tepat.
Beliau turut menyarankan supaya ibu bapa memantau penggunaan gajet anak mereka kerana ia boleh menjadi ‘barah’ yang merosakkan minda terutama bagi mereka yang berusia lima hingga 12 tahun.
“Isu seks ini dapat dielakkan menerusi komunikasi terbuka antara ibu bapa dan anak.
“Dalam masa yang sama stigma bahawa pendidikan seks adalah penggalak seks bebas perlu diubah dan dilihat dari sudut positif bagi menyelamatkan remaja kita,” katanya.
Selain itu, beliau berkata faktor pengalaman lampau juga menyebabkan seseorang remaja terjebak dan ketagih dengan kegiatan seks luar nikah.
“Individu yang pernah dirogol atau melakukan seks luar nikah pada suatu masa dahulu mungkin terdedah secara langsung dengan ketagihan untuk melakukan perbuatan yang sama kerana wujud rasa seronok dan ghairah dalam diri mereka.
“Pengalaman dirogol merupakan pengalaman pahit namun tidak mustahil ia boleh mewujudkan ketagihan dalam diri seseorang, sebab itu terdapat kes remaja yang mengulangi perbuatan seks luar nikah,” kata Dr Norsafatul.
Beliau lalu mencadangkan agar ibu bapa berjumpa dengan pakar kaunseling bagi membincangkan kaedah terbaik mendidik anak mengenai seks kerana tahap keterbukaan ibu bapa membincangkan isu ini dengan anak mereka masih rendah.
Semak semula
Sementara itu, Noor Azimah Abdul Rahim, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan Malaysia (PAGE), berkata sistem pendidikan di sekolah hendaklah disemak semula ekoran kerapnya berlaku kes seks bebas di sekolah.
“Subjek Pendidikan Islam serta Pendidikan Moral dan Sivik yang diajar di sekolah mampu memberi pendedahan mendalam kepada pelajar mengenai impak negatif sekiranya terlibat dengan aktiviti tidak bermoral.
“Tetapi mengapa gejala ini masih berterusan?,” soalnya.
Menurut beliau, keadaan semakin membimbangkan apabila pelajar mula berani melakukan aktiviti seks di dalam kawasan sekolah, yang sepatutnya menjadi hab pendidikan namun sebaliknya dijadikan tempat melakukan kegiatan tidak bermoral.
Tindakan tegas
Noor Azimah berkata selain tindakan tegas daripada pihak sekolah, guru kaunseling berperanan membimbing pelajar-pelajar bermasalah supaya dapat berubah menjadi insan yang berguna.
“Guru perlu mengenalpasti pelajar sedemikian dan memberi didikan secukupnya.
“Ibu bapa juga perlu lebih peka dengan aktiviti anak mereka dan segera bertindak sekiranya mendapati mereka terlibat dalam kegiatan itu,” katanya.
Sementara itu, bapa kepada dua orang anak, Mohd Noor Salleh, 38, berkata golongan remaja masa kini terdedah secara meluas dengan pelbagai maklumat di media sosial yang mendorong mereka untuk mencuba melakukan apa yang dibaca dan ditonton.
“Sebagai ibu bapa kita janganlah bersikap lepas tangan dalam mendidik anak.
“Pantau aktiviti dan apa yang mereka layari di internet. Sekiranya mereka membuka laman web yang tidak bermoral, segera ambil tindakan agar mereka tidak terjebak dengan gejala negatif yang lebih teruk pada masa akan datang,” tegas usahawan tekstil itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan